Bagi kebanyakan orang, sabut kelapa hanyalah sisa yang dibakar atau dibuang, tetapi bagi seorang pesara di Kampung Batu Hitam di sini, ia dianggap sebagai 'emas' yang mampu menjana pendapatan lumayan melalui industri pertanian moden.
Bekas pegawai hal ehwal ekonomi di Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, Wan Zamri Wan Ya, 61, telah berjaya mengubah sabut kelapa menjadi produk medium tanaman berkualiti tinggi yang kini mendapat permintaan tinggi di seluruh Semenanjung Malaysia.
Bermula Dengan Hobi, Kini Jadi Perniagaan
Wan Zamri berkata beliau mula mengusahakan produk berasaskan sabut kelapa hampir sembilan tahun lalu selepas melihat potensi besar bahan buangan ini dalam sektor pertanian dan tanaman hiasan.
"Sekarang, saya menghasilkan dua produk utama iaitu debu sabut kelapa (cocopeat) untuk tanaman fertigasi dan sabut dicincang untuk industri tanaman bunga," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
"Saya lihat industri ini masih kurang maju di Kelantan walaupun permintaan tinggi kerana sebelum ini ramai usahawan mendapatkan produk sabut kelapa dari Thailand untuk dijadikan medium tanaman," tambahnya.
Bekas pegawai itu berkata idea menghasilkan produk berasaskan sabut kelapa pada mulanya timbul untuk keperluan berkebun isterinya sebelum menarik perhatian rakan-rakan yang juga berminat menggunakan medium berkebun tersebut.
"Dari situ, saya nampak peluang perniagaan ini besar, terutama di Kelantan, kerana tidak ramai yang menceburinya secara serius," katanya.
Produk Mesra Alam dan Jimat Kos
Menurutnya, penggunaan debu sabut kelapa dan sabut dicincang dapat membantu mengekalkan kelembapan tanah, selain mempunyai kapasiti penyerapan air yang tinggi dan sesuai sebagai baja organik untuk mengurangkan kos pertanian.
Wan Zamri berkata permintaan terhadap produknya semakin meningkat dan kini dipasarkan ke seluruh Semenanjung Malaysia, dengan bekalan sabut diperoleh daripada petani kelapa tempatan.
Beliau juga berkata kini mampu memproses kira-kira dua tan produk sabut kelapa sebulan, dijual pada harga RM12 untuk 70 liter debu sabut kelapa dan RM25 untuk 105 liter sabut dicincang.
"Saya tidak menjual mengikut kilogram kerana sabut mempunyai tahap kelembapan berbeza, sama ada kering atau basah," katanya.



