KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menutup ruang penyelewengan tuntutan insentif Program Daya Kerjaya 2.0. Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata pihaknya telah menyalurkan maklumat kepada SPRM susulan siasatan dalaman yang dijalankan, yang membawa kepada pendedahan Op Daya semalam.
Perkeso serah maklumat kepada SPRM
“Kita menyiasat selepas laksanakan siasatan. Kita (yang) hantar dan salurkan maklumat ini kepada SPRM. Bila nampak, kita hentikan serta merta. (Bagaimanapun), kita sambut baik apa disarankan SPRM untuk bantu kita tambah baik dari segi proses dan memastikan ruang tuntutan palsu ini dapat ditutup,” katanya pada sidang media di Menara Perkeso.
Beliau mengulas tindakan SPRM yang membuka 81 kertas siasatan melibatkan 143 syarikat dan menahan 98 individu menerusi Op Daya bagi membantu siasatan kes penyelewengan tuntutan insentif Program Daya Kerjaya 2.0 Perkeso yang dianggarkan bernilai RM9 juta.
Tiada pegawai dalaman terlibat setakat ini
Mengulas kemungkinan penglibatan pegawai dalaman, Azman berkata, setakat ini tiada pegawai Perkeso dikenal pasti terbabit atau bersubahat dalam penipuan tersebut. Pegawai yang memproses tuntutan berkenaan dipercayai berbuat demikian berdasarkan dokumen yang dikemukakan dan dianggap sah pada ketika itu.
“Kalau dokumen yang dikemukakan itu palsu tetapi pegawai menerimanya sebagai dokumen tulen lalu memproses bayaran, kita perlu melihat keseluruhan keadaan sebelum menyatakan pegawai itu melakukan kesalahan. Namun, jika terdapat anggota dalaman yang cuai, berkompromi atau bersubahat dengan pihak yang membuat tuntutan palsu, kita tidak akan berkompromi,” katanya.
Sistem tuntutan akan diteliti semula
Justeru, beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) dan sistem pemprosesan tuntutan Perkeso akan diteliti semula dengan bantuan pakar serta pihak berkuasa bagi mengelakkan kelemahan sama daripada terus dimanipulasi.
“Kadangkala kita merasakan sistem yang dibangunkan sudah sempurna, tetapi masih terdapat ruang yang boleh dieksploitasi oleh pihak tertentu. Kita akan terus menambah baik sistem dengan mendapatkan nasihat pakar dan pihak berkuasa berkaitan,” katanya.



