Selangor akan mengurangkan hampir separuh kos asal penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2026 yang dijadualkan pada 15 hingga 24 Ogos ini sebagai langkah penjimatan. Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata peruntukan asal sebanyak RM100 juta sebelum ini akan dikurangkan kepada sekitar RM40 juta hingga RM50 juta.
Langkah itu diambil selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memperkenankan penganjuran diteruskan dengan langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemat. “Dalam keadaan sekarang ini kita mencuba untuk mengurangkan hampir separuh daripada kos asal. Jadi kemungkinan dalam julat RM40 juta ke RM50 juta dan sekarang ini kita sedang dalam proses untuk merangka angka-angka untuk pengurangan tersebut,” katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Khas Tertinggi Sukma 2026 di Menara KBS, Putrajaya.
Menurut Mohd Najwan, banyak pemotongan lebih tertumpu kepada acara bersifat seremonial yang dikecilkan skalanya. Majlis perasmian Sukma 2026 yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dan majlis penutupan akan tetap diadakan namun dalam skala yang lebih kecil dan simbolik bagi mengelakkan pembaziran. Selain acara keraian, pengurangan kos turut melibatkan pengecilan skop sukarelawan daripada sasaran asal 30,000 orang kepada bawah 5,000 orang. Kemudahan sukan sedia ada akan digunakan sepenuhnya tanpa melibatkan pembinaan infrastruktur baharu.
Walaupun belanjawan dikurangkan, Mohd Najwan memberi jaminan bahawa aspek teknikal dan kualiti pertandingan tidak akan terjejas demi memastikan prestasi atlet berada pada tahap tertinggi. “Dari segi pertandingan dan teknikal kita akan laksanakan mengikut standard dan piawaian yang ditetapkan. Kita tak nak jadikan subjek pengurangan kos ini menjadi asbab kepada kita hendak jatuhkan standard penganjuran acara,” tegasnya.
Setakat ini kerajaan negeri akan menanggung kos penganjuran namun perbincangan sedang dijalankan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung keperluan perkongsian kemudahan. Beberapa infrastruktur yang sebelum ini dirancang untuk disewa mungkin dapat digantikan melalui penggunaan fasiliti sedia ada milik Majlis Sukan Negara (MSN).
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari yang mempengerusikan mesyuarat hari ini merakamkan penghargaan kepada Sultan Sharafuddin atas perkenan supaya Sukma 2026 diteruskan demi pembangunan atlet dan sukan negara. Sebelum ini, Sultan Sharafuddin bertitah penganjuran Sukma Selangor 2026 wajar ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan sehingga pembangunan semula Stadium Shah Alam siap sepenuhnya. Bagaimanapun, baginda memperkenankan temasya sukan dwitahunan itu diteruskan secara berhemah setelah menerima menghadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.



