Skuad badminton wanita negara bersedia menghadapi ujian getir menentang juara bertahan China pada aksi suku akhir Piala Uber 2026 di Forum Horsens, esok.
Bersedia lawan China
Pengurus pasukan, Datuk Chong Juong Chain, percaya pemain yang diturunkan akan berjuang dengan sepenuh hati untuk memberikan saingan sengit kepada pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Uber yang memiliki 16 gelaran.
“Apa yang boleh saya katakan pada masa ini ialah pemain kami dalam ‘mod sedia’ dan bersedia untuk berjuang. Tidak kira siapa lawan, sama ada China atau pasukan lain, kami tetap mahu berjuang — itu yang paling penting,” katanya kepada Bernama selepas undian peringkat kalah mati di sini hari ini.
Keunggulan China
Di atas kertas, China mempunyai kelebihan dalam setiap aspek dengan barisan pemain bertaraf dunia termasuk Wang Zhi Yi (kedudukan kedua dunia), Chen Yu Fei (keempat), dan Han Yue (kelima), serta gandingan beregu nombor satu dunia Liu Sheng Shu-Tan Ning.
Malaysia, yang beraksi tanpa pemain utama Pearly Tan akibat kecederaan belakang baru-baru ini, diterajui oleh pasangan beregunya M. Thinaah manakala pemain lain termasuk beregu muda ranking ke-143 dunia, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan, serta pemain perseorangan wanita utama negara, K. Letshanaa (ke-33).
Senjata rahsia Malaysia
Zi Yu-Noraqilah mungkin menjadi senjata rahsia negara selepas persembahan mengagumkan setakat ini, termasuk mengecewakan pasangan ranking ketujuh dunia Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-17, 12-21, 21-19 ketika pasukan negara tewas 1-4 kepada juara enam kali Jepun pada perlawanan terakhir Kumpulan B, Isnin lalu.
Malaysia mara ke suku akhir sebagai naib juara Kumpulan B, manakala China muncul juara Kumpulan A. Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir.
Ini kali pertama dalam 16 tahun Malaysia mara ke suku akhir, selepas sebelum ini hanya layak tiga kali pada 2004, 2008, dan 2010.
Skuad negara memulakan kempen Kumpulan B dengan menewaskan Turkiye 3-2, diikuti kemenangan 5-0 ke atas Afrika Selatan yang memastikan slot ke suku akhir.
Kejohanan Piala Uber 2026, yang bermula pada 24 April, dijadualkan berakhir pada 3 Mei. — Bernama



