Pelajar ILP Marang maut dalam kemalangan LPT2 libat dua motosikal dan kereta
Pelajar ILP Marang maut dalam nahas LPT2

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang maut dalam kemalangan tiga kenderaan melibatkan dua motosikal dan sebuah kereta di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 8.25 malam di Kilometer 426.5 lebuh raya tersebut.

Menurut laporan Harian Metro, dua motosikal dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Kuala Terengganu, manakala sebuah kereta dari Genting Highlands menuju ke Besut.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Hasil siasatan awal mendapati penunggang motosikal berusia 19 tahun yang dikenali sebagai Ahmad Adham Abdullah Mohd Yusri hilang kawalan ke atas Honda EX5 sebelum terjatuh ke jalan raya.

“Sebuah Honda EX5 kedua yang datang dari belakang tidak sempat membrek atau mengelak mangsa lalu melanggarnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebuah Perodua Bezza yang turut berada di belakang cuba membrek tetapi tidak dapat mengelak mangsa yang sedang terbaring di atas jalan raya lalu melanggarnya.

Mangsa mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Penunggang motosikal kedua pula mengalami kecederaan pada tangan dan kaki dan dirawat di unit kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Azli berkata kemalangan berlaku di lebuh raya dua lorong yang lurus dalam keadaan cuaca cerah dan permukaan jalan yang kering.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga