JPJ Johor kesan 16 pemandu kenderaan perdagangan positif dadah
JPJ Johor kesan 16 pemandu positif dadah

MUAR, 16 Julai — Sebanyak 16 pemandu kenderaan barangan dan perkhidmatan awam didapati positif dadah dalam Ops Bersepadu Dadah yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor dari 1 Julai hingga 10.30 malam semalam.

Operasi Bersepadu di Lokasi Strategik

Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin, berkata operasi itu dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) dan PLUS Malaysia Berhad di lokasi strategik di seluruh negeri.

Beliau berkata, daripada 164 pemandu yang menjalani ujian saringan air kencing, 10 didapati positif methamphetamine, tiga positif kristal meth atau 'ice', dua positif ganja dan seorang positif morfin.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

"Operasi dijalankan di kawasan rehat dan rawat (R&R) lebuh raya, di hadapan Stesen Penguatkuasaan JPJ (SPK) dan terminal bas," katanya kepada pemberita selepas Ops Bersepadu Dadah di R&R Pagoh (arah selatan) di sini malam ini.

Tindakan Gantung Lesen Vokasional

Zulkarnain berkata, JPJ akan menggantung atau membatalkan lesen vokasional pemandu yang positif dadah mengikut Seksyen 56(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, dalam operasi itu, JPJ juga mengesan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan peraturan berkaitan.

Kesalahan Jalan Raya Dikesan

Antara kesalahan yang direkodkan ialah tiada lesen memandu (707), cukai jalan tamat tempoh (626), insurans tamat tempoh (574), tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL) (128), kenderaan muatan lebih (113), lesen memandu tamat tempoh (30), GDL tamat tempoh (14) dan cakera PUSPAKOM tamat tempoh (51), selain 490 kesalahan lain.

Bagi kesalahan teknikal, 39 kes melibatkan pengubahsuaian kenderaan, 30 kes tayar tidak mengikut spesifikasi dan 928 kesalahan teknikal lain dikesan. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga