PUTRAJAYA, 7 Jun — Polis telah merujuk satu video berhubung dakwaan pengeluaran kad pengenalan kepada seorang yang didakwa warganegara Myanmar yang tular di media sosial kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk pengesahan.
Laporan polis diterima
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Aidi Sham Mohamed, berkata kes itu berpunca daripada satu laporan yang diterima pada 5 Jun jam 8.45 pagi.
“Siasatan awal mendapati terdapat satu video Facebook tular oleh akaun ‘Na’am Ahmad’, yang mempersoalkan bagaimana seseorang yang didakwa dari Myanmar boleh memiliki MyKad biru.
“Bagaimanapun, video tersebut adalah muat naik semula oleh pihak ketiga. Pemeriksaan lanjut mendapati tiada dokumen pengenalan atau MyKad dipaparkan dalam video untuk menyokong dakwaan itu,” katanya.
Nasihat kepada orang ramai
Aidi Sham menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang maklumat yang tidak disahkan atau palsu berkaitan kejadian ini, kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dan mencemarkan nama baik pihak yang terlibat.
“Orang ramai juga perlu mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan melaporkan sebarang maklumat berkaitan kepada polis untuk membantu siasatan,” tambahnya. — Bernama



