Ops Bersepadu: Pemandu Lori Positif Dadah Digantung Lesen di Perlis
Pemandu Lori Positif Dadah Digantung Lesen di Perlis

JPJ Perlis Rampas Lesen Pemandu Positif Dadah

KANGAR, 16 Julai — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis telah merampas Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Vokasional (GDL) milik seorang pemandu kenderaan perdagangan yang didapati positif dadah dalam Ops Bersepadu Dadah terhadap kenderaan perdagangan.

Pengarah JPJ Perlis, Noraini Mohd Nawi, berkata sejak operasi bermula pada 1 Julai hingga semalam, seramai 71 pemandu kenderaan perdagangan telah menjalani saringan air kencing oleh Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), dengan keputusan mendapati seorang pemandu dan tiga pembantu pemandu positif dadah.

Tindakan Tegas Mengikut Undang-Undang

“Berikutan itu, JPJ Perlis merampas CDL dan GDL pemandu berkenaan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar mengenai operasi tersebut di sini malam tadi.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Noraini berkata operasi itu bertujuan memperkukuh pematuhan terhadap peruntukan peraturan lalu lintas, meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan risiko kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan, terutama akibat pemandu di bawah pengaruh dadah.

Beliau berkata operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama AADK, polis dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Kerjasama Agensi Diperkukuh

Beliau berkata JPJ Perlis akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara menyeluruh, berkesan dan berterusan dalam usaha meningkatkan keselamatan jalan raya.

“JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang kerana keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Noraini turut mengingatkan syarikat pengangkutan dan pemilik kenderaan perdagangan supaya memastikan pemandu yang diambil bekerja bebas daripada penyalahgunaan dadah, mematuhi peraturan jalan raya dan mengutamakan aspek keselamatan dalam operasi harian. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga