Pejabat MCA Batu Pahat musnah 80 peratus dalam kebakaran
Pejabat MCA Batu Pahat musnah 80 peratus dalam kebakaran

BATU PAHAT, 7 Jun — Sebuah pejabat MCA di Jalan Nipah, Lorong 3, Yong Peng berhampiran sini musnah 80 peratus dalam kebakaran malam tadi.

Operasi pemadaman

Dalam kenyataan, komander operasi Pegawai Bomba Kanan II Muhammad Amier Syah Hamzah berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 8.28 malam.

Beliau berkata dua jentera pemadam kebakaran dan sebuah unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan seramai 14 anggota dari balai bomba Yong Peng dan Ayer Hitam dihantar ke lokasi.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Setibanya di tempat kejadian, anggota bomba mendapati sebuah bangunan pejabat separuh kekal sedang marak dijilat api dan memulakan operasi pemadaman dengan segera,” katanya, sambil menambah tiada mangsa dilaporkan dan operasi tamat pada pukul 9.56 malam.

Kenyataan MCA

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Ling Tian Soon berkata premis tersebut digunakan sebagai pusat aktiviti komuniti, menganjurkan program seperti kelas tarian dan karaoke sekurang-kurangnya empat kali seminggu.

“Saya menerima panggilan kira-kira pukul 8.30 malam memaklumkan mengenai kebakaran itu, yang turut memusnahkan sistem siar raya (PA) dan unit penghawa dingin yang baru dipasang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga