KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan penangguhan sementara semua urus niaga Tukar Hak Milik (THM) kenderaan secara dalam talian, berkuat kuasa hari ini. Penangguhan itu merangkumi semua saluran digital termasuk portal awam, kiosk, serta rakan niaga JPJ iaitu MyEG dan eAuto Sdn Bhd.
Langkah kawalan segera
Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tindakan kawalan serta-merta itu diambil susulan beberapa aduan rasmi dan aduan di media sosial berhubung insiden pertukaran hak milik kenderaan yang dilakukan tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.
“JPJ memandang serius perkara ini, khususnya yang melibatkan aspek penyelenggaraan dan keselamatan rekod pendaftaran kenderaan di dalam sistem JPJ,” katanya.
“Sehubungan itu, bermula 25 Mei, semua urusan THM kenderaan bagi kategori persendirian individu dan persendirian syarikat hendaklah dilaksanakan melalui kaunter Pejabat JPJ,” ujarnya.
Prosedur baharu di kaunter
Bagi kategori persendirian individu, urus niaga boleh diselesaikan pada hari yang sama di semua Pejabat JPJ negeri dan cawangan. Manakala bagi kategori persendirian syarikat, proses pengesahan dan kelulusan akan dilaksanakan dalam tempoh lima hingga tujuh hari bekerja bermula dari tarikh penyerahan dokumen lengkap.
Sementara itu, bagi saluran penyedia perkhidmatan eAuto, Aedy Fadly memaklumkan bahawa hanya urus niaga Sistem Tukar Hak Milik Sementara (STMS) sahaja yang masih beroperasi seperti biasa. Bagaimanapun, sistem tukar hak milik kekal melalui sistem eSerahan Tukar Milik (eSTM) ditangguhkan, dan mana-mana pihak termasuk syarikat kenderaan terpakai yang ingin melaksanakannya perlu mengemukakan permohonan di Pejabat JPJ negeri atau cawangan.
“JPJ kekal komited dalam memastikan pengurusan serta kawalan rekod pendaftaran kenderaan di dalam sistem JPJ sentiasa diperkukuhkan dan ditambah baik dari semasa ke semasa demi melindungi kepentingan pemilik kenderaan serta memastikan integriti sistem penyampaian perkhidmatan jabatan terus terpelihara,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak dan mengemas kini maklumat serta data terkini kenderaan masing-masing dengan JPJ bagi mengelakkan sebarang masalah di masa hadapan.



