IPCC bawah Kementerian Dalam Negeri saluran bebas aduan salah laku polis
IPCC bawah KDN saluran bebas aduan salah laku polis

KUCHING, 6 Jun — Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCC) menyediakan platform alternatif untuk orang ramai membuat aduan berkaitan salah laku polis, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata sebelum ini, kebanyakan aduan melibatkan salah laku polis dikendalikan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“IPCC adalah satu lagi saluran yang tersedia untuk orang ramai. Sebelum ini, JIPS adalah satu-satunya saluran, dan sesetengah orang mungkin berasa tidak selesa kerana mereka menganggap ia adalah polis menyiasat polis. Walau bagaimanapun, keadaan kini berbeza.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“IPCC beroperasi di bawah Kementerian Dalam Negeri dan mempunyai pegawainya sendiri untuk menjalankan siasatan ke atas aduan yang diterima,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran buku Integrity: Man of Integrity, Honour and Principle di sini hari ini.

IPCC adalah badan pengawasan bebas yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2022 (Akta 839) dan telah beroperasi sejak 1 Julai 2023. Ia bertujuan meningkatkan integriti dalam pasukan polis, menyiasat salah laku yang melibatkan anggota PDRM dan mengesyorkan tindakan tatatertib.

Suruhanjaya ini mengendalikan aduan yang melibatkan salah laku seperti rasuah dan penyeksaan, sambil juga mengesyorkan penambahbaikan untuk mengukuhkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga