SPRM kesan penyelewengan RM9 juta program Daya Kerjaya 2.0
SPRM kesan penyelewengan RM9 juta program Daya Kerjaya 2.0

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan wujudnya penyelewengan melibatkan inisiatif kerajaan iaitu program Daya Kerjaya 2.0 yang dilaksanakan sebelum ini, dengan nilai tuntutan palsu berjumlah RM9.01 juta.

Penyelewengan Dana Kerajaan

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, berkata melalui siasatan pihaknya mengenal pasti sebanyak 143 syarikat melibatkan 320 pekerja di seluruh negara terbabit dalam penyelewengan dana kerajaan yang dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bermula 2024.

“Melalui program Daya Kerjaya 2.0 ini pihak kerajaan memberikan insentif kepada majikan dalam bentuk bayaran gaji sebanyak RM1,500 setiap bulan kepada pekerja (golongan seperti orang kurang upaya, bekas banduan dan warga emas) yang dilantik, selama enam bulan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Namun berdasarkan risikan awal yang dijalankan pihak kami, didapati beberapa isu telah dikesan daripada segi pelaksanaan dan sebagainya. Antaranya kita dapati ada individu yang diisytiharkan sebagai pekerja tetapi sebenarnya dia tidak wujud,” katanya kepada Bernama sempena lawatannya ke Pejabat SPRM Terengganu.

Modus Operandi

Abd Halim berkata pihaknya juga mengesan terdapat pekerja yang tidak memenuhi syarat tempoh minimum enam bulan pekerjaan namun mendapat bayaran penuh dan wujudnya aktiviti penggunaan dokumen palsu bagi mendapatkan bayaran insentif tersebut.

Selain itu, katanya, pihaknya juga mengesan sebanyak 1,638 lagi syarikat yang melakukan aktiviti sama membabitkan nilai kira-kira RM45 juta, namun ia masih di peringkat awal siasatan.

Kerjasama dengan Perkeso

Katanya, SPRM menerima kerjasama baik daripada ibu pejabat Perkeso sepanjang siasatan dijalankan dan akan terus mendapatkan bantuan daripada agensi tersebut di peringkat negeri bagi melancarkan lagi operasi termasuk proses pengumpulan maklumat dan bahan bukti.

Abd Halim berkata pihaknya memandang serius terhadap unsur penyelewengan atau kelemahan dalam pengurusan dana kerajaan yang diinisiatifkan untuk membantu rakyat.

Sehubungan itu, katanya, SPRM melalui Bahagian Penyiasatan Tatakelola akan mempergiatkan usaha membantu jabatan atau agensi kerajaan serta syarikat untuk menambah baik tadbir urus atau memperketatkan prosedur bagi mengelakkan berlaku ketirisan atau penyelewengan terhadap dana kerajaan.

“Jika terdapat kelemahan dalam sistem atau prosedur, kita akan membantu mengenal pasti dan mencadangkan penambahbaikan bagi memastikan pelaksanaan sesuatu inisiatif dapat disampaikan kepada rakyat dengan lebih berkesan dan tepat.

“Kes ini merupakan antara contoh penyelewengan yang dikesan melibatkan insentif kerajaan yang diwujudkan dengan niat baik untuk membantu rakyat dan merangsang peluang pekerjaan, namun disalahgunakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga