KUANTAN, 12 Mei — Seorang eksekutif kanan sebuah agensi kerajaan telah direman selama tujuh hari kerana disyaki terlibat dalam aktiviti rasuah berjumlah RM8,000.
Menurut sumber, lelaki berusia 40-an itu ditangkap kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan kesalahan itu pada tahun 2024 dengan membantu sebuah syarikat pembinaan dan sebuah syarikat kontraktor mendapatkan kontrak, meluluskan penilaian kontrak kerja, mendapatkan pensijilan penyiapan kerja, serta mempercepatkan tuntutan pembayaran.
“Suspek dipercayai menerima rasuah daripada syarikat-syarikat tersebut melalui pindahan wang ke dalam akaun bank peribadinya,” kata sumber itu.
Perintah reman tujuh hari terhadap suspek sehingga 18 Mei dikeluarkan oleh Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman selepas permohonan oleh SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penangkapan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. — Bernama



