PUTRAJAYA: Sekumpulan aktivis menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan pembayaran kira-kira USD13 juta (RM50 juta) kepada individu tertentu berkaitan pemindahan tiga gajah dari Malaysia ke Jepun. Tiga gajah itu dikenali Dara, Amoi dan Kelat (DAK), dari Zoo Taiping & Night Safari tiba di Zoo Tennoji, Osaka pada 11 Mac lalu dan mula dipamerkan kepada orang ramai sejak 21 April.
Laporan ke SPRM
Mewakili kumpulan itu, peguam N Rajesh mendakwa pihaknya menerima maklumat yang mendakwa wang itu tidak disalurkan kepada kerajaan, sebaliknya dipercayai diterima individu tertentu. Rajesh mendakwa tiga gajah yang dihantar ke Jepun itu adalah gajah liar dan bukannya haiwan dalam kurungan sambil mempersoalkan bagaimana kelulusan bagi pemindahannya diberikan.
“Kami percaya ada unsur rasuah dan mahu perkara ini disiasat secara menyeluruh. “Kami juga telah mengenal pasti lapan individu yang perlu disiasat termasuk pihak terbabit dalam proses pemindahan gajah berkenaan,” katanya di luar perkarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kekecohan di SPRM
Sementara itu, berlaku kekecohan apabila kumpulan terbabit tidak berpuas hati dan mendakwa hanya dua individu dibenarkan memasuki bangunan untuk membuat laporan. Bagaimanapun, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff, menafikan suruhanjaya itu menghalang orang ramai daripada membuat aduan.
Katanya, pengadu dan peguam dibenarkan masuk untuk membuat aduan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, memandangkan premis berkenaan digazetkan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan. “SPRM sentiasa mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan untuk tampil, tetapi perlu mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.
Reaksi Exco Perak
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching, sebelum ini dilaporkan berkata penghantaran Dara, Amoi dan Kelat bukan urus niaga komersial, sebaliknya sebahagian daripada kerjasama rasmi antara Zoo Taiping & Night Safari dan Zoo Tennoji. Bagaimanapun, gambar tular di media sosial mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai kebajikan Dara, Amoi dan Kelat serta keadaan zoo berkenaan.
Pada 6 Mei lalu, Zoo Tennoji menyiarkan satu siri gambar tiga gajah itu yang didakwa menunjukkan haiwan berkenaan berada dalam keadaan baik.



