Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa kekuatan Malaysia bukan terletak pada keseragaman, tetapi pada kemampuannya untuk mengurus perbezaan secara adil dan saksama.
Ucapan di Sidang Kemuncak Pemimpin Agama
Bercakap pada Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa ke-3 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Anwar berkata pengalaman Malaysia sebagai negara pelbagai kaum dan agama membuktikan bahawa penganut kepercayaan berbeza boleh hidup bersama secara aman sambil kekal komited terhadap pegangan masing-masing.
Perdana Menteri menjelaskan bahawa walaupun Islam adalah agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Malaysia kekal sebagai negara pelbagai kaum di mana rakyat menjalankan hak dan tanggungjawab dengan saling menghormati dan memahami.
“Ini adalah negara pelbagai kaum; kita menjalankan hak dan kewajipan kita dengan rasa hormat dan tunduk. Kami mahu memastikan setiap anggota masyarakat, setiap warganegara, berasa selamat dan dilindungi sama rata.
“Oleh itu, kekuatan kita bukan pada keseragaman, tetapi pada kapasiti kita untuk mengurus perbezaan secara adil dan saksama. Kami percaya semangat ini, jika diikuti secara konsisten, akan menjadi contoh kepada umat manusia,” katanya.
Pemimpin agama perlu pupuk keamanan
Anwar juga menggesa pemimpin agama untuk terus menggunakan kuasa moral dan pengaruh mereka untuk mempromosikan keamanan dan keadilan, sambil menekankan peranan mereka semakin penting di tengah-tengah konflik global dan krisis kemanusiaan yang semakin meningkat.
Beliau menegaskan dunia menghadapi cabaran yang semakin berat, menuntut kepimpinan moral yang lebih kukuh bersama komitmen yang lebih besar terhadap kemanusiaan dan nilai-nilai etika.
Anwar berkata perkembangan sebegini hanya menekankan betapa pentingnya peranan pemimpin agama dalam memperjuangkan akal budi, toleransi dan tanggungjawab moral dalam dunia yang semakin tidak menentu.
“Multilateralisme digantikan dengan unilateralisme. Keamanan digantikan dengan kecenderungan untuk meneruskan peperangan tanpa henti. Nasib golongan miskin dan terpinggir sebahagian besarnya diabaikan.
“Peranan pemimpin agama kekal lebih relevan berbanding sebelum ini kerana anda mewakili suara hati nurani, akal budi, kesabaran dan toleransi yang semakin berkurangan dalam dunia hari ini. Ada yang menyebutnya sebagai zaman pasca-normal,” katanya.
Agama jangan dipolitikkan
Pada masa sama, Anwar memberi amaran bahawa agama yang sepatutnya menjadi sumber keamanan, ketenteraman, kemakmuran dan perpaduan, semakin dipolitikkan dan dimanipulasi untuk mencetuskan permusuhan.
“Agama sepatutnya mempromosikan keamanan tetapi sebaliknya mempromosikan perselisihan. Ia sepatutnya mempromosikan toleransi dan keadilan tetapi membenarkan keganasan dan ketidakadilan,” katanya.
Perdana Menteri juga menyebut keganasan yang berterusan di Gaza dan Lubnan sebagai contoh kegagalan menegakkan kemanusiaan dan keadilan, sambil menyatakan gencatan senjata sering dilanggar tidak lama selepas diumumkan.
Beliau berkata peperangan yang melibatkan pembunuhan wanita dan kanak-kanak semakin digambarkan sebagai perkara biasa, manakala generasi muda terdedah kepada adegan keganasan, kemusnahan dan kehinaan manusia.
“Gencatan senjata diisytiharkan hanya untuk diingkari sebelum dakwatnya kering. Pengeboman dilakukan walaupun rundingan sedang diadakan,” katanya. — Bernama



