Ketiadaan poster boy popular halang momentum BN
Harapan momentum kemenangan Barisan Nasional (BN) di Johor dapat diteruskan ke PRN Negeri Sembilan mungkin berdepan kesukaran tanpa ada pemimpin berpengaruh serta popular seperti Onn Hafiz Ghazi, kata penganalisis. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata senario di Negeri Sembilan mungkin berbeza kerana BN dan Umno dibayangi persepsi punca kemelut politik membawa pembubaran DUN, merujuk tindakan 14 Adun parti itu menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun, April lalu.
“Di Johor, BN mempunyai ‘senjata rahsia’ berbentuk ‘poster boy’ yang segar, muda, dinamik dan membawa naratif kestabilan politik iaitu Onn Hafiz. Namun di Negeri Sembilan, pengundi atas pagar bukan melihat BN sebagai pembawa kestabilan, melainkan sebagai pencetus utama kemelut politik negeri,” kata penganalisis Global Asia Consulting itu kepada FMT. “Sejarah tidak boleh dipadam, tindakan Adun Umno dikepalai Jalaluddin Alias yang dikaitkan gerakan menarik sokongan sebelum ini telah mengheret negeri ke kancah ketidaktentuan.”
PH mungkin unggul dengan poster boy sendiri
Menurut Zaharuddin, jika kelebihan poster boy menjadi peraturan untuk meraih sokongan pengundi seperti di Johor, PH mungkin mempunyai kelebihan dengan menampilkan Aminuddin Harun dari PKR selaku penyandang menteri besar. “Imej beliau yang bersih, mesra rakyat, dan kurang kontroversi adalah aset terbesar. Namun, kebergantungan melampau kepada ketokohan Aminuddin adalah strategi ‘bermata dua’,” katanya.
Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata BN mungkin ada tokoh dari Negeri Sembilan seperti Timbalan Presiden Mohamad Hasan namun peranannya lebih diperlukan di peringkat politik nasional. “Masalahnya mencari (calon di peringat negeri) dan siapa mahu diangkat sebagai calon menteri besar,” katanya.
Pengundi kurang puas hati dengan Umno
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata PH berada pada kedudukan lebih baik untuk mempertahankan Negeri Sembilan berbanding peluang BN mengulangi kejayaan besarnya di Johor. “Memang berdasarkan bacaan sejak beberapa minggu lalu, rakyat Negeri Sembilan dilihat kurang berpuas hati dengan Umno kerana parti itu dipersalahkan sebagai punca PRN perlu diadakan,” katanya.
Ujarnya, PH sebagai penyandang kerajaan negeri mempunyai kelebihan kerana boleh menumpukan kempen kepada rekod pentadbiran dan pencapaian yang telah dilaksanakan. “Mereka boleh menggunakan strategi yang sama seperti yang dilakukan BN sebelum ini, iaitu mengetengahkan pencapaian serta pembangunan,” katanya.
Sebelum DUN Negeri Sembilan pada 4 Jun lalu, BN menguasai 14 DUN manakala Pakatan Harapan (PH) pula mewakili 17 DUN manakala Perikatan Nasional (PN) dengan lima kerusi. Seperti di Johor, BN juga akan bergerak solo pada PRN Negeri Sembilan dijadualkan 1 Ogos. Pada pilihan raya negeri 2023, parti itu bekerjasama dengan PH sehingga membentuk kerajaan.



