Parti Wawasan Negara perlu menjadi pemacu politik dan ekonomi yang kompeten dalam Perikatan Nasional (PN), bukan sekadar dilihat sebagai pengganti komponen lain, kata penganalisis.
Wawasan perlu bawa nilai tambah
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, kualiti sedemikian diperlukan untuk membantu memperhalusi strategi PN bagi meraih sokongan pengundi.
“Jika parti (Wawasan) hanya menggantikan Bersatu tanpa menyelesaikan pertikaian kepimpinan atau peruntukan kerusi sebelum pilihan raya, PN sekadar menjalani penjenamaan semula tanpa menangani isu asas.
“Krisis dalaman hanya akan berpanjangan,” katanya kepada FMT.
Zaharuddin mengulas kenyataan ketua penerangan Wawasan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pada Ahad. Wan Fayhsal berkata, Wawasan akan membantu PN memperkukuh jentera dan strategi pilihan raya untuk meraih sokongan pengundi, khususnya pada pilihan raya Negeri Sembilan pada 1 Ogos.
Latar belakang perpecahan PN
PAS memutuskan hubungan dengan komponen PN, Bersatu, bulan lalu. Wawasan yang diterajui bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, kemudian diterima masuk ke dalam gabungan pembangkang itu.
Ahmad Fauzi Abd Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, Wawasan mempunyai peluang emas untuk mengisi kekosongan dalam PN, memandangkan persepsi bahawa gabungan itu sudah bergerak melampaui kekangan konservatisme.
Beliau berkata, Wawasan harus memperjuangkan “konsensus nasional baharu” yang digariskan dalam “Reset Malaysia”, gerakan yang dilancarkan Hamzah selepas disingkirkan daripada Bersatu.
Konsensus nasional itu adalah rangka kerja politik dan dasar bertujuan membina semula negara berdasarkan kepentingan semua rakyat Malaysia, dengan sasaran memenangi pilihan raya umum ke-16 dan membentuk kerajaan.
Konsensus nasional jambat jurang bandar-luar bandar
Fauzi berkata, sifat inklusif konsensus itu boleh membantu merapatkan jurang pengundi bandar dan luar bandar.
Beliau berkata, PN juga perlu memproyeksikan imej Islam yang sederhana dan mengelak daripada dilihat ekstremis.
Dalam konteks ini, Fauzi berkata, Wawasan boleh mengambil alih peranan Bersatu sebelum ini sebagai kuasa penyederhana dalam PN melalui promosi konsensus tersebut.
“Bagaimanapun, kedua-dua parti perlu merundingkan dan menjelaskan kedudukan masing-masing dalam gabungan,” katanya.



