Krisis Negeri Sembilan: Isyarat Politik Untuk Putrajaya?
Krisis Negeri Sembilan: Isyarat Politik Untuk Putrajaya

Tindakan BN Negeri Sembilan bukan sekadar krisis negeri, tetapi isyarat politik yang pasti turut dirasai di Putrajaya. Saya ucapkan terima kasih kepada rakan Facebook Gabriel Gwo Shin Lim yang mengingatkan saya setelah membaca artikel semalam bahawa Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, selain menjadi Ahli Parlimen Rembau, juga merupakan ADUN Rantau di Negeri Sembilan. Ertinya, beliau termasuk dalam kalangan ADUN Umno/BN yang menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun tiga hari lalu.

Sama ada Tok Mat terbabit secara langsung atau tidak dalam langkah itu belum ada penjelasannya sehingga artikel ini ditulis. Namun hakikatnya beliau adalah salah seorang daripada 14 ADUN Umno di Negeri Sembilan. Jujur saya akui saya terlupa akan fakta penting ini. Sekiranya saya ingat, naratif artikel semalam mungkin ada bezanya. Jika tidak banyak, sedikit pasti ada perbezaan.

Terima kasih juga kepada rakan lama Jahabar Sadiq yang mengingatkan saya bahawa beliau adalah pengerusi BN negeri dan mereka menggunakan kepala surat BN. Merujuk surat yang kumpulan ADUN berkenaan hantar kepada Speaker DUN Negeri Sembilan bagi memaklumkan tindakan mereka. Maksudnya, surat rasmi BN lengkap dengan kepala surat. Satu lagi perkara penting yang saya terlepas dalam artikel semalam yang akan menambah isi kandungan penulisan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Semasa artikel ini ditulis, Presiden Umno, Zahid Hamidi, mungkin sedang bertemu dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkaitan krisis Negeri Sembilan. Terdahulu, beliau memberitahu media akan menemui Anwar Ibrahim petang Selasa. Saya tidak menunggu pertemuan itu selesai (jika benar ia diadakan) untuk mula menulis artikel ini. Maksudnya, tidak menunggu apa-apa kenyataan hasil pertemuan – jika kenyataan dikeluarkanlah.

Setakat ini, kenyataan Zahid sejak isu ini tercetus banyak menimbulkan persoalan. Lebih banyak soalan daripada jawapan. Saya faham beliau tidak boleh mendedahkan segala-galanya untuk khalayak. Tetapi ada yang beliau kata membuat saya angkat kening. Contohnya, kata Zahid, ADUN Umno bertindak secara bebas kerana Umno pusat tidak mencampuri urusan Umno negeri. Kata seorang penganalisis politik, “siapa yang faham Umno pasti tahu benda-benda macam ini tak akan jadi kalau tak ada lampu hijau ibu pejabat.” Saya setuju.

Anwar juga banyak cakap berlapik. Jelas beliau tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Tidak mahu mengocak perahu, agaknya. Lantas banyak menyatakan perkara yang jelas. Namun saya setuju dengan apa yang dikatakan wartawan veteran A. Kadir Jasin di Facebook. “Apabila ketuk Aminuddin di Negeri Sembilan, takkan Anwar di Putrajaya tak rasa apa-apa? Sikit-sikit mesti rasa.” Betul. Aminuddin pemimpin PKR. Anwar presiden PKR dan pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Adakah PH berani menyingkirkan Umno/BN? PH masih boleh memerintah meskipun tanpa Umno/BN berdasarkan jumlah kerusi di Parlimen. Perdana Menteri juga boleh, jika mahu, mengadakan pilihan raya mengejut. Kata kuncinya ‘jika mahu’ walaupun memang ada banyak perkiraannya. Umno/BN menurut saya tidak akan berani meninggalkan kerajaan perpaduan kerana sudah dapat macam-macam. Dapat apa? Semua orang sudah tahu. Lalu banyak rugi daripada untung jika mereka keluar kerajaan.

“Zahid mungkin akan main wayang ketoprak dalam krisis Negeri Sembilan ini supaya tidak nampak mengkhianati mentornya. Tetapi beliau tentu tahu bahawa sentimen majoriti ahli Umno dan orang Melayu mengenai kerjasama dengan PH adalah negatif,” kata Kadir.

Tampil Kamarulzaman Zainal, rakan rapat Allahyarham Abdullah Ahmad Badawi, perdana menteri kelima dan presiden Umno keenam. Beliau juga pernah menjadi setiausaha akhbar Pak Lah. Menurut beliau, rakyat mula menerima kehadiran mereka (Umno) sebagai penstabil dalam landskap politik baharu, namun proses penyembuhan ini ibarat pesakit yang sedang berpantang – tersilap makan, melaratlah semula.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Kata Kamarulzaman, persoalannya adakah Umno benar-benar disiplin dalam ‘diet’ politik mereka, atau mereka sedang mengulangi tabiat lama yang membawa penyakit? Dalam proses pemulihan, kata beliau, ada tiga ‘makanan beracun’ yang sering kali menjangkiti semula tubuh Umno. Yakni sifat sombong dan angkuh, khianat kawan serumah, dan sindrom penyakit menambah penyakit. Bagi Kamarulzaman, Umno kini berada di persimpangan jalan antara kesembuhan total atau kecacatan kekal. Luka rakyat boleh sembuh, tetapi parutnya akan sentiasa mengingatkan mereka tentang pedih yang pernah dirasai.

Pesan beliau: “Jika Umno terus memilih untuk makan benda-benda yang dilarang – kesombongan, pengkhianatan, dan keangkuhan – maka jangan hairan jika rakyat akhirnya memutuskan untuk mencari ‘doktor’ lain yang mendengar kata.”

Berbalik isu pokok penulisan ini: krisis Negeri Sembilan. Imbau kembali laporan Undang Yang Empat cuba menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar. Disusuli menteri besar tampil berkata pengisytiharan turunkan Yang di-Pertuan Besar tidak sah. Undang Luak menggesa menteri besar dipecat. ADUN Umno beberapa hari lalu juga tidak menyokong menteri besar.

“Secara logiknya, jika tarik sokongan daripada MB, bermakna ADUN Umno menyokong tindakan Undang yang meminta MB letak jawatan,” kata seorang pemerhati politik. Tanya saya pula, adakah ADUN juga setuju dengan Undang Luak supaya Yang di-Pertuan Besar diturunkan? Berkata pula seorang rakan bekas wartawan, beliau baca di media sosial banyak komen oleh orang Negeri (pada pandangannya) yang mengkritik keras ADUN Umno kerana cuba tebuk atap. Yang buat komen juga menyatakan kesetiaan terhadap Yang di-Pertuan Besar.

Sejak tunjuk garang semasa mengumumkan tindakan mereka ke atas menteri besar tempoh hari, kumpulan ADUN sudah agak kendur. Mula mendakwa bukan mahu rampas kuasa, bukan mahu jadi menteri besar, dan mahu mengadap Yang di-Pertuan Besar. “Semalam main ceneke, hari ini banyak cekadak. Gomar buek bukan-bukan. Okap bona, habih bocomporo. Bersapaulah menunggu menghadap. Jangan kono sidai sudah,” kata-kata oleh orang kuat Ilham Centre, Azlan Zainal, anak jati Nogori, mengakhiri penulisan saya kali ini.