BN N Sembilan dakwa cukup majoriti mudah tubuh kerajaan negeri
BN N Sembilan dakwa cukup majoriti mudah tubuh kerajaan

Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mendakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri susulan sokongan daripada lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional (PN). Dalam satu kenyataan, 14 Adun BN yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Aminuddin Harun berkata mereka mengambil maklum pendirian Adun PN yang menyatakan kesediaan untuk bekerjasama.

Kerjasama BN-PN

Menurut mereka, keterbukaan lima wakil rakyat PN itu dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan yang stabil. “Dalam situasi luar biasa ini, kepentingan rakyat Negeri Sembilan mengatasi segala kepentingan kepartian. Kami berjiwa besar untuk mengetepikan perbezaan ideologi demi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk dengan segera,” menurut kenyataan itu.

Melalui kerjasama BN-PN, gabungan itu akan menikmati 19 sokongan Adun mengatasi 17 wakil rakyat Pakatan Harapan (PH). Adun BN turut menegaskan pendirian mereka yang pragmatik dan inklusif dalam usaha menyatukan majoriti Adun bagi membentuk pentadbiran yang kukuh. Mereka berkata, penyatuan tersebut mampu membawa naratif baharu dalam memacu pembangunan negeri selain mempertahankan adat.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Krisis Adat

Krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan empat Undang Luak menggunakan kuasa mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar ketika Undang Sungei Ujong Mubarak Dohak, pula didakwa sudah dipecat. Susulan krisis itu, persidangan DUN Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung empat hari bermula hari ini terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan walaupun istiadat pembukaan disempurnakan Tuanku Muhriz, Khamis lalu.

Kenyataan itu menyusul selepas PN Negeri Sembilan menyatakan kesediaan lima Adunnya untuk bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan baharu. Perkembangan itu susulan 14 Adun Umno-BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya. Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, berkata keputusan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin dibuat susulan krisis didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.

Pada pilihan raya negeri lalu, Pakatan Harapan memenangi 17 kerusi, BN (14) manakala PN memperoleh lima kerusi. PH dan BN kemudian membentuk kerajaan negeri dengan Aminuddin dilantik sebagai menteri besar.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga