Wawasan perlu bawa politik kompetensi, ekonomi perkukuh PN
Wawasan perlu bawa politik kompetensi, ekonomi perkukuh PN

PETALING JAYA: Parti Wawasan Negara (Wawasan) perlu menjadi penggerak politik kompetensi dan ekonomi dalam Perikatan Nasional (PN), bukannya dilihat sekadar mahu mengambil alih ruang parti komponen lain, kata penganalisis Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.

Strategi PN perlu diperkemas

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri daripada Global Asia Consulting berkata, langkah itu mampu membantu memperkemas strategi PN untuk memenangi hati rakyat seperti disuarakan Ketua Penerangan Wawasan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. Katanya, namun hasrat itu boleh bertukar menjadi ‘racun’ yang memburukkan lagi krisis dalaman gabungan jika isu pembahagian kerusi gagal diselesaikan.

“Jika akhirnya parti ini sekadar mengambil alih ruang yang ditinggalkan Bersatu tanpa menyelesaikan pertindihan kepimpinan dan perebutan kerusi, PN hanya menukar jenama, bukan menyelesaikan masalah. Krisis dalaman akan terus diwarisi,” katanya kepada FMT.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Ruang kemenangan bukan pada sentimen kaum atau agama

Misalnya di Negeri Sembilan, Zaharuddin berkata Pakatan Harapan (PH) kukuh di bandar atas faktor kestabilan pentadbiran, manakala Barisan Nasional (BN) mengekalkan akar umbi kuat di luar bandar. “Sebab itu ruang kemenangan bukan terletak pada memainkan sentimen kaum atau agama semata-mata. Formula itu semakin mencapai had keberkesanannya di negeri yang pengundinya lebih pragmatik dan cenderung menilai prestasi.

“Kos sara hidup, peluang pekerjaan, reformasi pentadbiran, pembangunan belia dan ekonomi tempatan jauh lebih berpotensi menembusi kubu lawan berbanding retorik yang hanya mengukuhkan penyokong sedia ada,” katanya.

Peluang keemasan Wawasan dalam PN

Terdahulu, Wan Fayhsal dilaporkan berkata parti itu akan terus membantu menambah baik pendekatan bagi memenangi hati rakyat susulan kekalahan PN di semua 33 kerusi ditandingi pada PRN Johor. Sementara itu, Ahmad Fauzi Abd Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata Wawasan kini mempunyai peluang keemasan mengisi kelompangan dalam PN selepas dilihat berjaya membebaskan diri daripada kepompong konservatisme.

Beliau menyarankan parti itu mengangkat semula gagasan Konsensus Nasional yang bersifat inklusif serta merentasi batas kaum dan agama bagi menjambatani pengundi bandar dan luar bandar. “PN perlu menonjolkan wacana Islamis yang moderat, bukannya ekstremis, dan dibuktikan dengan pentadbiran adil tanpa kira agama dan bangsa di negeri pimpinan mereka.

“Tidak mustahil Wawasan mengambil alih peranan Bersatu melalui wacana progresif ini, namun kedua-dua parti perlu segera berunding bagi membincangkan posisi masing-masing dalam gabungan,” katanya. Wawasan yang dijenamakan semula daripada Parti Cinta Malaysia (PCM) diterima menyertai PN, bulan lalu.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga