Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengeluarkan surat setebal 13 muka surat kepada PAS susulan pengumuman parti Islam itu yang mahu menilai semula hubungannya dengan Bersatu. Surat itu mendedahkan Perikatan Nasional (PN) mengadakan perbincangan awal dengan Umno mengenai usaha menyingkirkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Kronologi Pertemuan Politik
Surat bertarikh 25 Mei menyatakan beberapa siri perbincangan berlangsung antara PAS, Bersatu dan Umno sebelum 14 Adun Umno-Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap pentadbiran Aminuddin. Salah satu pertemuan diadakan di ibu pejabat Bersatu pada 24 April, melibatkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, bersama tiga Adun PAS, serta Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali bersama dua Adun Bersatu bagi menandatangani akuan berkanun.
Menurut surat itu, perbincangan diteruskan pada sebelah malam hari sama di Hotel Pavilion dengan kehadiran Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias serta beberapa Adun parti itu. “Perbincangan malam itu bersetuju supaya 14 Adun Umno-BN menarik sokongan terhadap menteri besar terlebih dahulu sebelum lima Adun PN menyatakan sokongan. Ini bagi mengelakkan tuduhan bahawa PN terlibat dalam gerakan tebuk atap untuk menumbangkan kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan. Lima Adun PN akan melihat dan memantau perkembangan selanjutnya,” menurut surat itu.
Tindakan Adun Umno dan PN
Pada 27 April lalu, Umno Negeri Sembilan mengadakan sidang media mengumumkan 14 Adunnya menarik sokongan terhadap Aminuddin, dengan alasan mereka hilang keyakinan terhadap beliau susulan krisis melibatkan empat pembesar adat yang didakwa mahu menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar negeri itu. Surat itu turut menyatakan setiausaha agung PAS dan Bersatu kemudian bergegas ke Seremban pada hari sama untuk berbincang dengan lima Adun PN bagi merangka pendirian bersama demi menjamin kestabilan kerajaan negeri. Pada hari sama, PN Negeri Sembilan menyatakan kesediaan bekerjasama dengan 14 Adun BN bagi membentuk kerajaan baharu demi kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri dan menjamin kesejahteraan rakyat.
Sokongan Kepada Umno Bukan Membuta Tuli
Menurut surat itu lagi, Bersatu tidak pernah bersetuju untuk memberi sokongan membuta tuli kepada presiden Umno dan menyatakan sokongan total kepada Umno. “Sebab itu, kenyataan yang dikeluarkan dan dipersetujui bersama, hanya bersedia untuk bekerjasama dengan 14 Adun UMNO bagi membentuk kerajaan yang stabil dan menjamin kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan,” menurut surat itu lagi.
PAS Tiba-Tiba Diam Diri
Surat itu turut mendedahkan pada 28 April, Azmin menghubungi Takiyuddin untuk membincangkan lanjut krisis politik Negeri Sembilan, namun perbincangan tidak dapat diadakan kerana setiausaha agung PAS mempunyai komitmen lain di Kota Bharu. Menurut surat itu, keesokan harinya 29 April, Azmin sekali lagi menghubungi Takiyuddin bagi mendapatkan nasihat selepas 14 Adun Umno dilaporkan kekal menyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan. “Bersatu berpendirian tindakan lima Adun PN untuk kekal bekerjasama dengan 14 Adun Umno tidak lagi sesuai. Azmin meyampaikan pendirian biro politik Bersatu supaya PN menarik diri daripada memberikan sokongan kepada 14 Adun Umno. Namun, tiada jawapan diterima daripada Takiyuddin,” menurut surat itu.
Pada 30 Mei, Presiden Umno Zahid Hamidi mengumumkan semua wakil parti itu di Negeri Sembilan akan terus menyokong kerajaan perpaduan negeri. Zahid berkata, mereka tidak berniat mengambil alih pentadbiran negeri atau membentuk kerajaan baharu melalui cara yang tidak demokratik. Surat Muhyiddin itu juga menyatakan, Azmin sekali lagi menghubungi Takiyuddin pada 30 Mei bagi meminta untuk berjumpa dan berbincang tetapi tiada pengesahan diterima. “Azmin juga mencadangkan melalui WhatsApp supaya setiausaha agung PN mengeluarkan kenyataan bahawa lima Adun PN menarik sokongan terhadap 14 Adun Umno setelah Umno kembali menyokong kerajaan PH di Negeri Sembilan. Takiyuddin memaklumkan beliau akan membawa cadangan Bersatu itu dalam mesyuarat pimpinan PAS pada 5 Mei. Namun, PAS gagal untuk memberikan sebarang maklum balas kepada cadangan Bersatu,” menurut surat itu.
Tindakan Adun Bersatu di Negeri Sembilan menarik balik sokongan terhadap Umno merupakan antara isu disebut Presiden PAS Hadi Awang sebagai punca parti itu menilai semula hubungannya dengan Bersatu. Semalam, Muhyiddin berkata beliau menerima surat daripada PAS mengenai hubungan dengan parti itu dan akan membawanya ke mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk diteliti secara mendalam.



