West Coast Expressway Sdn Bhd (WCE) telah menyumbang RM10,000 kepada Majlis Perbandaran Taiping (MPT) bagi menyokong usaha pemuliharaan hidupan liar melalui Skim Pengangkatan Haiwan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS).
Seladang Bima Jadi Maskot WCE
Ketua Pegawai Eksekutif WCE, Lyndon Alfred Felix, berkata sumbangan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu akan menampung kos penjagaan seekor seladang jantan berusia 12 tahun bernama Bima yang beratnya melebihi 200 kilogram.
“Kami memilih seladang sebagai maskot WCE kerana ia melambangkan ketahanan, kekuatan dan daya tahan, nilai yang mencerminkan aspirasi dan budaya kerja yang ingin kami tanamkan dalam organisasi kami,” katanya kepada pemberita selepas program CSR ‘WE CARE’ di zoo itu hari ini.
Inisiatif Tambahan: Mural dan Taman Poket
Lyndon berkata selain menaja penjagaan seladang, sumbangan itu juga merangkumi dua inisiatif lain – mural yang menggambarkan laluan WCE dan pembangunan Taman Poket WCE untuk meningkatkan keselesaan dan pengalaman pengunjung di Zoo Taiping.
Hadir sama, Presiden MPT, Mohamed Akmal Dahalan.
Komitmen Alam Sekitar WCE
Lyndon berkata komitmen WCE terhadap pemuliharaan alam sekitar juga ditunjukkan melalui pembinaan dua Animal Box Culverts (ABC) di Seksyen 11 WCE melalui Hutan Simpan Gunung Bubu di Kuala Kangsar bagi membolehkan hidupan liar bergerak dengan selamat di kawasan berkenaan.
Inisiatif itu mencerminkan pendekatan WCE dalam mengimbangi pembangunan infrastruktur dengan pemuliharaan biodiversiti, selaras dengan komitmen syarikat terhadap pembangunan mampan dan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Peranan Korporat dalam Pemuliharaan
Sementara itu, Mohamed Akmal berkata sumbangan WCE menunjukkan peranan penting sektor korporat dalam menyokong pemuliharaan hidupan liar sambil memperkukuh ZTNS sebagai salah satu tarikan pelancong utama negara.
“Sumbangan seperti ini amat bernilai kerana kos penjagaan haiwan, termasuk penyediaan makanan, adalah tinggi. Dalam cabaran ekonomi semasa, sokongan daripada sektor korporat membantu meringankan sebahagian beban kewangan,” katanya.
Skim Pengangkatan Haiwan
Mengenai Skim Pengangkatan Haiwan, Mohamed Akmal berkata ia telah menerima sokongan daripada beberapa organisasi korporat untuk membantu membiayai penjagaan haiwan di ZTNS.
Penaja semasa termasuk Comfort Rubber Gloves Industries Sdn Bhd, iCare RX Sdn Bhd, Yayasan Kossan dan Yayasan Pemuliharaan Hijau Kelapa Sawit Malaysia (MPOGCF).
“Comfort Rubber Gloves Industries menaja seekor harimau Malaya, iCare RX seekor tapir dan Yayasan Kossan seekor beruang matahari, dengan setiap satu menyumbang RM10,000.
“Tahun ini, selain tajaan WCE untuk seladang, MPOGCF juga menyumbang RM10,000 untuk penjagaan seekor orang utan Borneo,” tambahnya. — Bernama



