Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook membidas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Onn Hafiz Ghazi susulan kenyataannya bahawa beliau lebih rela melepaskan jawatan menteri besar daripada duduk semeja dengan DAP.
Menerusi satu hantaran ringkas di Facebook, Loke menyindir kenyataan Onn Hafiz: “Anda tak nak duduk semeja dengan DAP. .. Hebat! Teruskan keangkuhan kamu.”
Beliau mengingatkan Onn Hafiz bahawa Pengerusi BN Zahid Hamidi juga sebahagian daripada kerajaan persekutuan bersama pemimpin DAP. “Presiden anda tiap-tiap minggu duduk sebelah dengan setiausaha agung DAP ya, harap maklum, terima kasih!” katanya, sambil berkongsi gambarnya duduk di sebelah Zahid.
Zahid, yang juga presiden Umno, merupakan timbalan perdana menteri, manakala Loke menteri pengangkutan.
Loke berkata demikian selepas Onn Hafiz menegaskan sekiranya rakyat memberikan mandat kepada BN untuk memimpin sekali lagi, ‘kita tidak akan sesekali bersama DAP dalam kerajaan negeri’.
Pada masa ini, tiada wakil Pakatan Harapan dalam kerajaan Johor. Umno dan DAP yang dahulunya musuh tradisi kini rakan sekutu dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan telah bekerjasama dalam pilihan raya sejak November 2022.



