11 didakwa sebagai anggota sindiket 'Vinod Gang' di Sepang
11 didakwa anggota 'Vinod Gang' di Sepang

Seorang lelaki yang dipercayai dalang sindiket jenayah 'Vinod Gang' bersama 10 yang lain didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas tuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah terancang di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

Tiada pengakuan direkodkan

Hakim Husna Dzulkifly tidak merakamkan sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan kerana kes ini berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Kesemua 11 tertuduh didakwa menjadi anggota sindiket di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang antara April 2024 dan 27 Jun 2026.

Tertuduh ialah Muhammad Vinod Saktivel, 30, yang dipercayai ketua kumpulan; M Puvaneswaran, 34; Lawrence Alfred, 34; G Sanggeethan, 31; M Naviedran, 29; S Sri Tharan, 27; M Surenthar, 27; N A N Viknesvaran, 27; J M Kishaan, 24; R Shervinkumar, 23; dan T Saarvin, 21.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pendakwaan dan pembelaan

Timbalan Pendakwa Raya Chow Siang Kong dan Muhammad Syahrezal Mohd Shukri hadir bagi pihak pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam T Mishant dan S Devan. Mahkamah menetapkan 14 September untuk sebutan semula kes.

Kesemua 11 tertuduh tiba di kompleks mahkamah sekitar jam 9 pagi dengan kawalan ketat anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia.

Ops Rapido dan penyelesaian kes

Mereka ditangkap pada 23 dan 24 Jun melalui Ops Rapido, operasi bersama diketuai JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Selangor. Dalam kenyataan semalam, Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk M Kumar berkata kumpulan itu dipercayai aktif sejak 2023 dan terlibat dalam rompakan berkumpulan, cubaan membunuh, rusuhan bersenjata, menyebabkan cedera dengan senjata dan khianat.

Modus operandi kumpulan itu adalah melakukan rompakan bersenjata menggunakan parang atau senjata tajam, menyasarkan premis kediaman untuk keuntungan material, kuasa atau pengaruh. Penangkapan 11 individu ini membawa kepada penyelesaian 21 kes dan mematahkan satu sindiket rompakan bersenjata aktif di Selangor.

Lima lagi dikesan

Polis sedang mengesan lima individu lain yang dipercayai masih bebas dan menjadi anggota kumpulan itu. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga