Putrajaya dan Sarawak finalisasi perjanjian pengambilalihan Pelabuhan Bintung RM1.8 bilion
Putrajaya, Sarawak finalisasi perjanjian ambil alih Pelabuhan Bintulu

KOTA SAMARAHAN, 9 Mei — Proses penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Negeri Sarawak dijangka selesai dalam beberapa bulan lagi selepas semua isu utama dimuktamadkan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata mesyuarat terakhir dengan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan diadakan tidak lama lagi untuk memuktamadkan perkara tersebut.

“Pada masa ini, perjanjian akhir sedang dimuktamadkan, kerana isu undang-undang dan harga telah pun diselesaikan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Seperti yang saya umumkan sebelum ini, kerajaan persekutuan dan negeri telah mencapai kata sepakat mengenai kos akhir penyerahan itu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan laluan baharu di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Tempatan BAS.MY Kuching di sini hari ini.

Beliau berkata draf perjanjian akhir telah siap dan kini menunggu kelulusan Kabinet sebelum penyerahan rasmi dapat dilakukan, sambil menambah bahawa proses itu mengambil masa kerana akta berkaitan pembubaran Lembaga Pelabuhan Bintulu telah diluluskan kira-kira dua tahun lalu.

Beliau berkata penguatkuasaan pembubaran lembaga itu dan penyerahan rasmi kepada kerajaan negeri masih tertakluk kepada menandatangani perjanjian akhir.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak pada prinsipnya telah bersetuju dengan nilai RM1.8 bilion untuk pengambilalihan Pelabuhan Bintulu oleh negeri itu.

Sementara itu, Loke berkata Kementerian Ekonomi telah meluluskan projek bernilai RM445 juta untuk menaik taraf bangunan Lapangan Terbang Miri di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), bulan lalu.

Beliau berkata kerja-kerja naik taraf dijangka bermula tahun ini selepas kelulusan kos berdasarkan sesi semakan penilaian nilai yang diadakan pada 17 Mac.

“Peluasan Lapangan Terbang Miri adalah penting kerana ia merupakan lapangan terbang kedua tersibuk di Sarawak selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Selain menjadi lapangan terbang domestik utama, ia juga berfungsi sebagai hab utama untuk Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) yang dikendalikan oleh AirBorneo,” katanya.

Beliau berkata perkhidmatan itu memainkan peranan penting dalam menghubungkan kawasan pedalaman Sarawak dengan bandar-bandar utama dan meningkatkan aksesibiliti pengangkutan udara untuk masyarakat luar bandar. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga