KUALA LUMPUR, Jun — Lebih daripada 1,500 projek perumahan swasta yang sakit dan terbengkalai di seluruh negara telah berjaya dihidupkan semula oleh pasukan petugas khas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dari tahun 2023 hingga Mei tahun ini.
Pemulihan Projek Bernilai RM148 Bilion
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata usaha pemulihan itu melibatkan 1,576 projek yang merangkumi 188,525 unit kediaman, dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM148.21 bilion.
Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan KPKT dalam memperkukuh sektor perumahan negara melalui Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST), yang ditubuhkan pada tahun 2023.
Projek M101 Skywheel Berjaya Diselamatkan
Menurut Nga, keberkesanan pasukan petugas itu dapat dilihat melalui pemulihan projek mercu tanda M101 Skywheel, yang sebelum ini terhenti akibat kesan pandemik COVID-19 dan kekangan kewangan, tetapi kini telah berjaya diselamatkan.
“Pemulihan projek ini mencerminkan usaha nasional yang lebih luas yang diterajui KPKT untuk menangani isu pembangunan perumahan terbengkalai dan melindungi kepentingan pembeli rumah,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah bagi KL360 di sini hari ini.
Mengenai projek M101 Skywheel, Nga berkata penggantungan awalnya telah menjejaskan 337 pembeli, yang melibatkan Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan nilai gabungan melebihi RM306 juta.
Beliau berkata GD Properties kemudiannya tampil sebagai pemaju white knight untuk menghidupkan semula projek itu, yang kini telah dijenamakan semula sebagai KL360 @ Menara GD, selepas mengambil kira potensi pembangunan dan tanggungjawab terhadap pembeli yang terjejas.
Menurutnya, dengan sokongan KPKT dan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan, skim pemulihan menyeluruh telah berjaya dirumuskan, mendapat kelulusan majoriti pembeli sebelum disahkan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2024.
Seruan Kepada Pemaju Hartanah
“Saya ingin menyeru lebih ramai pemaju hartanah untuk tampil ke hadapan dan memainkan peranan aktif dalam membantu menghidupkan semula projek yang menghadapi cabaran serupa, sambil bekerjasama untuk memperkukuh agenda perumahan negara.
“Objektif kami adalah jelas - untuk memastikan setiap sen yang dibayar oleh pembeli rumah digunakan semata-mata untuk pembangunan projek yang dijanjikan, dan setiap rumah yang dibeli disiapkan dan diserahkan kepada pembeli mengikut jadual,” katanya.
Projek KL360 @ Menara GD
KL360 @ Menara GD setinggi 61 tingkat adalah projek pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar RM1.37 bilion, terletak di dalam pusat perniagaan utama Kuala Lumpur dan bersebelahan dengan stesen Transit Aliran Massa (MRT) Raja Uda di Jalan Tun Razak.
Projek yang terhenti selepas dilancarkan pada tahun 2017 itu kini diberikan nafas baharu dan akan merangkumi 785 unit pangsapuri perkhidmatan, 221 suite pejabat dan 20 lot runcit. Ia juga akan menampilkan 40 kemudahan kesihatan, kecergasan dan gaya hidup, dengan sasaran penyiapan penuh menjelang 2030. — Bernama



