Politik Malaysia Tak Pernah 'Berpuasa': Perjuangan Kuasa Terus Berjalan di Bulan Ramadan
Dunia politik kita memang tidak akan pernah berpuasa kerana sasaran utama mereka bukanlah hari raya, tetapi pilihan raya yang sentiasa menghantui. Apabila tiba hari-hari terakhir Ramadan, suasana sering berbeza berbanding fasa awal bulan puasa yang biasanya dipenuhi dengan semangat dan kesungguhan. Saf di masjid semakin susut jumlah jemaahnya, walaupun ganjaran beribadah pada 10 malam terakhir Ramadan dikatakan berlipat kali ganda. Rata-rata masyarakat mula memfokuskan diri kepada persiapan hari raya, seperti membeli-belah biskut raya dan pakaian baharu. Ini merupakan budaya yang telah lama wujud di negara kita, dan tiada siapa yang benar-benar mencari 'kehilangan' kita di surau dan masjid. Ganjaran besar pada malam-malam terakhir nampaknya hanya menarik minat mereka yang benar-benar tekun dan berdedikasi.
Politikus Juga Tidak Terkecuali dalam Aktiviti Ramadan
Dalam semua kesibukan ini, kalangan ahli politik juga tidak terkecuali. Jadual mereka dipenuhi dengan program berbuka puasa, solat tarawih, moreh, dan lawatan ke bazar Ramadan. Tidak kira parti mana, sama ada Umno, PAS, PKR, atau DAP, program rakyat tetap berjalan tanpa henti. Dari sudut pandangan ini, Ramadan sebenarnya membawa pengajaran yang sangat relevan kepada dunia politik. Menahan sabar, bergerak aktif menyantuni masyarakat, beribadat, dan memberi sedekah adalah kerja politik yang selari dengan falsafah puasa itu sendiri. Namun, realiti politik Malaysia sering bergerak dalam suasana yang tegang dan penuh konflik.
Serangan peribadi, tuduhan, dan perkelahian yang berlaku pada bulan sebelumnya terus disambung pada bulan Ramadan tanpa sebarang tomakninah atau gencatan senjata. Mulut dan perut mungkin berpuasa, tetapi memaki-hamun dan memburukkan pesaing politik tidak pernah berhenti, malah kadangkala dilihat sangat keterlaluan. Ironinya, setiap kali Ramadan tiba, kita sering mendengar mesej yang sama daripada pemimpin politik pelbagai pihak. Mereka mengingatkan rakyat tentang pentingnya kesabaran, perpaduan, dan nilai menghormati antara satu sama lain. Ucapan-ucapan ini biasanya kedengaran tulus dan penuh dengan semangat keagamaan, tetapi persoalannya, adakah mereka sendiri mengamalkan nilai-nilai ini?
Perkembangan Politik Mutakhir yang Mengganggu Ketenteraman
Lihat sahaja perkembangan politik mutakhir ini. Rafizi Ramli secara terbuka mengkritik beberapa keputusan pentadbiran perdana menteri serta pendekatan parti yang beliau sendiri berada di dalamnya. Ada yang memuji keberanian beliau bercakap terus terang, tetapi tidak kurang juga yang melihatnya sebagai satu lagi episod drama 'melalak' selepas kalah dalam pertandingan jawatan nombor dua tertinggi di dalam parti. Rakyat di luar sering melihat Rafizi sebagai juara bongkar, tetapi tidak lama selepas kelantangannya berterusan, orang kanannya mula dicari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Perang ini telah mengheret keresahan rakyat, menimbulkan persoalan tentang mana satu yang betul.
Pada masa yang sama, sekutu dalam kerajaan Madani, iaitu DAP, terus menekan kerajaan supaya satu suruhanjaya siasatan ditubuhkan bagi menyiasat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki. Isu integriti yang berlarutan ini menunjukkan bahawa walaupun berada dalam satu kerajaan, tekanan politik tidak pernah surut. Lebih-lebih lagi semenjak DAP mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu. Di pihak pembangkang pula, pergaduhan dalam parti Bersatu, khususnya antara kem Muhyiddin Yassin dan kem Hamzah Zainudin, terus berlarutan di bulan Ramadan ini.
Di sebelah satu lagi, PAS semakin terbuka mempromosikan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai calon perdana menteri ke-11. Ini bermakna pertandingan kuasa sentiasa berjalan walaupun di dalam bulan Ramadan, terutamanya dengan penggal berbaki hanya setahun sahaja lagi sebelum pilihan raya umum ke-16 dijalankan. Semua parti perlu bergerak pantas merebut isu dan kesempatan untuk menjadi jaguh di mata rakyat.
Metafora Puasa dalam Konteks Politik
Bagi saya, ibadah puasa di bulan Ramadan mampu menawarkan satu kaedah yang menarik untuk difikirkan. Jika individu mampu menahan diri daripada makan dan minum selama lebih 13 jam sehari, bukankah wajar politik juga sepatutnya boleh 'berpuasa' sekejap daripada bicara yang meresahkan awam? Maksud berpuasa dalam konteks politik tentu sekali tidak bermaksud menghentikan semua kegiatan. Demokrasi yang sihat memerlukan perdebatan yang aktif, bahkan kadangkala perlu juga kepada penegasan yang keras. Tanpa perbezaan pandangan, politik tentulah akan kehilangan fungsi utamanya sebagai medan pertukaran idea.
Namun, politikus haruslah sentiasa insaf bahawa apa gerakan sekalipun, niatnya biarlah memberikan kebaikan kepada keseluruhan rakyat, bukan untuk kepentingan peribadi. Bukannya bergaduh dengan hal yang remeh-temeh dan melalak-melantun setiap hari. Bukan juga adegan lompat sana lompat sini, membuat tuduhan tanpa bukti, atau menabur janji kosong dengan penuh retorik. Semua ini langsung tidak mencerminkan disiplin yang cuba dilatih dalam ibadah puasa bulan Ramadan.
Politik Malaysia: Ketidakstabilan dan Pencapaian
Saya melihat dalam penggal ini politik Malaysia telah melalui pelbagai fasa ketidakstabilan. Perubahan kerajaan, pengkhianatan ahli parti, pergaduhan dalam gabungan, serta persengketaan peribadi tokoh-tokoh tertinggi parti telah menjejaskan tumpuan masyarakat terhadap perkara yang lebih penting. Namun, banyak juga isu rakyat telah berjaya diselesaikan. Kita tidak lagi merungut tentang kehilangan beras tempatan di pasaran. Ramadan kali ini kita tidak kalut dengan harga telur dan harga ayam yang melambung tinggi. Rakyat lega sedikit apabila di dalam kad pengenalan mereka ada RM100 untuk dibuat belanja dapur. Itu semua telah selesai.
Namun, isu tidak puas hati yang menjurus ke arah pergaduhan kaum dan agama pula timbul. Ini harus dibendung segera dan dengan baik. Kekalutan ini tidak boleh dikesampingkan dengan ragam dan kerenah keanak-anakan politikus yang bergaduh entah pasal apa. Semua ini telah bercampur-aduk di dalam kawah bubur lambuk politik kita. Belum lagi kita melihat bagaimana sentimen luar negara juga mampu membakar emosi. Konflik geopolitik yang semakin tegang, peperangan yang melibatkan kuasa-kuasa besar, telah membuat kita sedikit-sebanyak berpecah. Akhirnya rakyat terseret dalam gelombang emosi tersebut, bercampur-aduk lagi dengan isu politik domestik; semua ini menyumbang ke arah suasana yang tidak kondusif.
Nilai Ramadan yang Patut Diinspirasikan dalam Politik
Di sinilah nilai yang diajar dalam puasa sepatutnya berupaya memberi sedikit inspirasi kepada kita semua, khususnya para politikus. Puasa menuntut kesabaran, dan kesabaran mengajar kita bahawa tidak semua perkara memerlukan tindakan drastik dan terburu-buru. Namun, bersabar bukan bermakna kita perlu berdiam diri sepenuhnya. Kadangkala menahan diri adalah tindakan yang lebih bijak daripada bertindak balas secara spontan. Tetapi dalam dunia politik, berdiam sering dianggap bersalah. Maka serangan dan serangan balas harus terus dilakukan, seolah-olah jika tidak bertekak, itu tanda tidak bekerja.
Akhirnya, maksud menahan lapar dan dahaga hanya difahami pada permukaannya saja. Ramadan diterjemahkan sekadar tidak makan, tidak minum, dan tidak bersetubuh dari terbit fajar hingga terbenam matahari, sedangkan disiplin moral yang lebih besar dibiarkan begitu sahaja. Minggu terakhir Ramadan ini bagi saya adalah masa untuk kita menilai semula perjalanan ibadah kita. Ibadah bukan sekadar ritual, tetapi tentang roh di dalamnya. Solat sangat penting, tetapi apa pengajaran daripada gerak solat itu yang hendak dibawa ke dalam kehidupan luar waktu solat itulah yang lebih penting.
Menunaikan haji itu baik bagi yang mampu, tetapi membawa roh ibadah itu ke dalam kehidupan seharian jauh lebih bermakna. Bukan apabila sudah bergelar haji, kita makin membongkak. Begitulah juga dengan puasa. Selepas menahan lapar dan dahaga, menggandakan amalan, dan melatih diri bersabar, mampukah kita mengekalkan disiplin itu sepanjang tahun? Pendekatan yang sama juga boleh dijadikan metafora dalam situasi politik negara.
Kesimpulan: Politik yang Matang dan Berdisiplin
Malaysia memerlukan politik yang mampu mengurus perbezaan dengan lebih matang. Dalam erti kata lain, politik yang tahu bila perlu bersuara dan bila perlu menahan diri. Seperti menunggu waktu berbuka puasa, politikus kita juga sepatutnya belajar menghargai nilai kesabaran. Seperti melepaskan waktu imsak, kita wajar menghargai waktu tersebut dan tidak mempersiakannya dengan perkara-perkara yang kosong tanpa makna.
Ramadan mungkin tidak akan mengubah budaya politik secara serta-merta. Kenyataan pedas akan tetap keluar, serangan balas akan tetap berlaku, dan episod drama politik akan terus berjalan seperti biasa. Tetapi jika selepas lebih 1,400 tahun umat Islam masih gagal memahami bahawa puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, mungkin tidak menghairankan jika politik kita juga gagal memahami bahawa dalam berperang merebut kuasa tetap ada sempadan dan batasnya. Bukan main hentam sahaja. Tapi nak buat macam mana, dunia politik kita memang tak akan pernah berpuasa kerana sasaran mereka bukan hari raya, tapi pilihan raya. Betul tak?



