Kod Baharu ONSA Perkukuh Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian
Kod Baharu ONSA Perkukuh Perlindungan Kanak-Kanak

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memperkenalkan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak serta pengguna rentan dalam persekitaran digital. Kod tersebut akan berkuat kuasa pada 1 Jun ini.

Kod Perlindungan Kanak-kanak (CPC)

Kod Perlindungan Kanak-kanak (CPC) memberi tumpuan kepada pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan bersesuaian mengikut umur. Antara langkah yang diperkenalkan termasuk mewajibkan prinsip safety by design dalam perkhidmatan, mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna berumur 16 tahun ke bawah, serta mengehadkan fungsi tertentu yang berpotensi mendedahkan kanak-kanak kepada risiko kandungan eksploitasi dan memudaratkan.

Kod Pengurangan Risiko (RMC)

Kod Pengurangan Risiko (RMC) pula menghendaki penyedia perkhidmatan melaksanakan langkah proaktif bagi mengurangkan risiko kandungan memudaratkan. Ini termasuk penilaian risiko, tadbir urus kandungan lebih kukuh, mekanisme pelaporan berkesan, dan pengesahan pengiklan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Menurut SKMM, kedua-dua kod ini merupakan obligasi utama di bawah ONSA untuk memastikan pengalaman digital lebih selamat kepada kanak-kanak dan keluarga, serta meningkatkan keyakinan ibu bapa dalam berdepan risiko digital yang semakin kompleks. Kod ini menetapkan jangkaan jelas kepada pemberi perkhidmatan untuk memikul tanggungjawab lebih besar dalam menangani kandungan memudaratkan, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan pengguna rentan.

ONSA diluluskan pada Disember 2024 untuk memperkukuh tadbir urus keselamatan digital negara serta memastikan platform lebih bertanggungjawab terhadap kandungan dalam talian. Kod CPC dan RMC diperkenalkan susulan sesi libat urus bersama pemain industri, organisasi masyarakat sivil, serta pihak berkepentingan, termasuk rundingan awam dari 12 Februari hingga 31 Mac lalu.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga