Jabatan Penjara Malaysia: Banduan Terima Lawatan Keluarga Sempena Aidiladha
Banduan Terima Lawatan Keluarga Sempena Aidiladha

KUALA LUMPUR, 22 Mei — Keluarga banduan di semua institusi penjara termasuk Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Pusat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney dibenarkan melawat mereka sempena sambutan Aidiladha pada hari ketiga dan keempat hari raya.

Waktu Lawatan dan Peraturan

Jabatan Penjara dalam satu kenyataan memaklumkan waktu lawatan ditetapkan dari 8.15 pagi hingga 4.15 petang pada 29 dan 30 Mei, dengan keutamaan diberikan kepada banduan Muslim.

“Pengunjung tidak dibenarkan membawa makanan dan minuman untuk banduan. Sebaliknya, makanan dan minuman boleh dibeli di kantin penjara,” kata kenyataan itu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Selain itu, pengunjung dinasihatkan supaya tidak memberi wang kepada banduan kerana semua keperluan asas telah disediakan, kecuali untuk perkara tertentu seperti pembayaran yuran peperiksaan yang memerlukan resmi PPT 28 daripada pihak penjara sebagai bukti pembayaran.

Pemeriksaan Fizikal

Kenyataan itu menambah bahawa pengunjung tertakluk kepada Akta Penjara dan Peraturan Penjara yang membolehkan pihak penjara melakukan pemeriksaan fizikal semasa masuk dan keluar dari institusi.

Lawatan Dalam Talian

Sementara itu, bagi keluarga yang tidak dapat melawat secara fizikal, sesi pertemuan dalam talian juga akan disediakan selama tiga hari bermula 30 Mei hingga 1 Jun.

Keluarga yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi institusi berkenaan secara terus. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga