Kabinet cadang tempoh dapatan RCI TH dilanjutkan liputi pengurusan baharu
Kabinet cadang tempoh RCI TH liputi pengurusan baharu

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata Jemaah Menteri mencadangkan tempoh dapatan kajian Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) turut meliputi tempoh pengambilalihan institusi oleh pengurusan baharu. Katanya, ia bagi membolehkan usaha pemulihan yang dilaksanakan selepas tempoh siasatan turut dinilai.

Cadangan lanjutan tempoh dapatan

“Jemaah Menteri telah mencadangkan agar jeda waktu untuk dapatan kajian ini dilanjutkan bukan hanya hingga 2020, tetapi dilanjutkan dari 2014 hingga 2022, dan 2022 hingga apabila pengurusan dan kepengerusian baharu TH mengambil alih,” katanya menurut Bernama, di Seremban.

“Ini adalah bagi memperlihatkan agar usaha-usaha pemulihan dengan antaranya penstrukturan aset, pencairan aset dan lain-lain langkah untuk memulihkan TH itu benar-benar telah dilaksanakan berdasarkan pada syor-syor yang telah dibuat oleh Laporan RCI mengenai TH,” tambah beliau.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Komitmen kerajaan kepada pendeposit

Zahid berkata, Jemaah Menteri turut berharap langkah pemulihan dapat dilakukan sebagai tanda komitmen kerajaan dalam memastikan pendeposit TH memperolehi pulangan sewajarnya, sekali gus mengurangkan kos menunaikan ibadah haji.

“Kita tahu bahawa kos melakukan ibadah haji sekarang telah meningkat dan kita tahu bahawa kalau dulu RM9,980 bagi setiap jemaah, tetapi sekarang ini jumlah itu telah meningkat disebabkan peningkatan kos penerbangan, ‘ground handling hotel’, dan sebagainya.

“Namun, saya fikir dengan keuntungan melalui dividen atau bonus yang akan diberikan kelak dengan pengurusan baharu, ianya akan memperlihatkan bahawa kos itu boleh diturunkan dengan menggunakan sebahagian dari keuntungan itu untuk menampung kos peningkatan kos mengerjakan haji,” katanya.

Elak politiking laporan RCI

Mengulas kebimbangan pendedahan laporan itu akan menjejaskan keyakinan pendeposit, Zahid berkata, ia sepatutnya dikeluarkan kira-kira tiga tahun lalu, tetapi ditangguhkan kerana dikhuatiri menyebabkan berlakunya penebusan wang yang didepositkan di TH.

“TH sedang menuju ke arah memantapkan portfolio pelaburan dan kedudukan aliran tunainya dan pada hemat saya, laporan itu bukan menuding jari kepada seseorang tetapi ia adalah satu syor yang pada saya tidak harus dipolitikkan apatah lagi pada Sabtu ini adalah hari yang penting untuk Negeri Sembilan.

“Saya harap ia tidak dimanipulasikan ke arah itu,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga