Dalam keghairahan PAS meraih simpati, menarik sokongan dan mencetus kemarahan orang ramai terhadap kerajaan, ia mengorak langkah sumbang. Kalau main badminton, istilah ‘kasi bola tanggung’ maknanya beri pemain lawan peluang mudah untuk dapatkan mata. Bulu tangkis yang dihidang tanggung sungguh mengundang untuk direjam. Oleh kerana sekarang musim Piala Dunia, saya bercakap pasal bola sepak. Dalam bola sepak tiada istilah ‘bola tanggung’ untuk menggambarkan situasi memberi peluang keemasan buat pasukan lawan. Yang lazim digunakan ialah ‘jaring gol sendiri’. Menjaring bola ke dalam gawang sendiri beri pasukan lawan kelebihan.
Saya kira tindakan RTM ‘merehatkan’ pengulas sukan bola sepak, Azlan Johar, daripada terus mengulas baki beberapa perlawanan Piala Dunia memberi manfaat ‘jaring gol sendiri’ kepada PAS. PAS seperti dijangka memberi kiasan Azlan direhatkan kerana beliau menjadi ahlinya. RTM menafikan. Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail dipetik Malaysiakini berkata, “pertama sekali Azlan Johar tidak direhatkan sebagai pengulas sukan di RTM. Sebab pengulas sukan sempena World Cup ini adalah berdasarkan kepada jemputan”. Iyalah tetapi bukankah jemputan itu untuk tugas mengulas perlawanan bola sepak? Seterusnya Ashwad menjelaskan Azlan tidak mempunyai kontrak yang mengikatnya untuk mengulas semua perlawanan Piala Dunia. Setahu saya soal kontrak tidak ditimbulkan.
Menurut Azlan, beliau menerima jemputan menerusi WhatsApp dan terima pelawaan itu malah sudah pun menerima jadual pengulasan iaitu mengulas sembilan perlawanan. Jadual disediakan oleh RTM dan diberi kepada beliau sebelum Piala Dunia bermula. Menurut Ashwad lagi, RTM berpegang kepada prinsip menjaga hak pundit atau pengulas. “Kita kena jemput yang lain sama, kita ada ramai pundit. Tak timbul isu rampas hak warga negara. Kita beri ruang menjemput pundit lain”. Berdasarkan kata-kata itu saya rumuskan apa yang beliau ingin sampaikan ialah RTM mahu beri peluang dan ruang kepada pengulas lain yang bilangan sememangnya ramai untuk dijemput. Memberi peluang sama rata kepada ramai pengulas memang langkah bagus yang dialu-alukan, kerana tiada siapa yang diizin untuk memonopoli gelanggang. Cuma timbul soal ‘timing‘. Tindakan merehatkan Azlan dilihat diambil beberapa jam setelah beliau menerima borang keahlian PAS daripada timbalan presiden parti, Tuan Ibrahim Tuan Man, di satu majlis di Seremban pada malam 13 Jun lalu. Pastilah timbul pertanyaan, tuduhan, spekulasi. Like most things timing is everything.
Kata Ashwad, tiada ada halangan politik dikenakan terhadap Azlan oleh RTM walaupun beliau “sudah maklum dengan penyertaan Azlan dalam PAS pada Julai 2025”. “RTM tetap meneruskan sebagaimana dirancang. Perlawanan Brazil-Morocco diulas oleh Azlan Johar dan Dollah Salleh. Dekat mana RTM merehatkan beliau? Sebab dia tetap muncul walaupun malam sebelumnya diumum besar-besaran (Azlan masuk PAS),” kata Ashwad. Tetapi menurut cerita Azlan pula, semuanya berlaku selepas beliau dan Dollah selesai mengulas perlawanan itu. Dakwa Azlan, beliau didatangi ‘penyelaras siaran langsung’ RTM dan diberitahu beliau tidak perlu lagi datang untuk meneruskan ulas baki perlawanan seperti yang dijadualkan. Azlan mendakwa ‘penyelaras siaran langsung’ itu mendakwa telah mendapat ‘arahan pihak atas’. Azlan tidak menjelaskan sama ada beliau bertanya si penyelaras siapa ‘pihak atas’ yang keluarkan arahan itu. Jika beliau ada bertanya tidak pula dinyatakan apa jawapan si ‘penyelaras’ berkenaan.
Ashwad dan Azlan ada versi masing-masing, tetapi realitinya PAS terus menerkam dan mengambil kesempatan. Tidak boleh disalahkan mereka apabila isu Azlan menyajikan peluang, apatah lagi ia terjadi menjelang PRN Negeri Sembilan dan Johor. Mana-mana parti pun akan ambil langkah serupa. Tidak cerdik jika tidak eksploitasi. PAS sudah go to town with the issue. Mesejnya membayangkan dakwaan Azlan diperlakukan sedemikian hanya kerana menyokong ‘kita’, dan tidak sokong ‘puak sebelah sana’. Bolehkah ini mendapatkan simpati ramai? Mungkin boleh, menurut saya. Yang nyata imej kerajaan tercalar kerana in politics perception is everything.
Azlan pernah bermain dalam skuad Selangor semasa Mokhtar Dahari beraksi dulu. Beliau pernah bermain untuk pasukan Harimau Malaysia (bukan Malaya) pada Pestabola Merdeka 1984. Ketika itu Kevin Keegan dijemput sebagai pemain jemputan Harimau Malaysia yang dibarisi pemain muda. Bolehlah dikatakan itu skuad kedua negara. Bintang bola sepak England itu pernah dilapor berkata Azlan antara pemain dalam skuad itu yang menarik perhatiannya. Mungkin generasi muda zaman ini tidak tahu itu semua tetapi saya yakin PAS akan mengingatkan mereka kerana PAS mahu Azlan menarik sokongan orang muda, dan juga peminat bola sepak yang masih ingat. Apabila isu beliau direhatkan muncul, memang bagi PAS ‘bola tanggung’ atau ‘jaring gol sendiri’. Pucuk dicita ulam mendatang, kata peribahasa Melayu.
Malam Rabu lalu ada sidang media dilangsungkan di Facebook untuk Azlan memberi his side of the story. Saya tidak pasti sama ada PAS yang menganjurkannya tetapi Azlan diapit oleh yang saya percayai orang PAS. Bekas pemain kebangsaan asal Kedah, Radhi Mat Din, yang memang sudah lama menganggotai PAS pantas membuat hantaran di Facbook memanggil orang ramai bersolidariti dengan Azlan. Dalam keghairahan PAS menggunakan isu ini untuk meraih simpati, menarik sokongan dan mencetus kemarahan orang ramai khususnya Melayu terhadap kerajaan, Tuan Ibrahim mengorak langkah sumbang. Berucap pada satu majlis, beliau berkata apa yang dilakukan ke atas Azlan ialah “tanda-tanda PH nak mampus”. Ini keterlaluan, dan unbecoming of a person said to be an ustaz and agamawan. Apa jadi dengan berbahasa, ketertiban dan kewarasan?



