Loke: Kerajaan tak campur tangan pelantikan pengurusan pelabuhan, syarat 51% milik Malaysia kekal
Kerajaan tak campur tangan pelantikan pengurusan pelabuhan

PUTRAJAYA, 17 Julai — Kerajaan tidak campur tangan dalam pelantikan pengurusan di syarikat yang mengendalikan pelabuhan, termasuk yang melibatkan warga asing, selagi kepentingan majoriti kekal di tangan rakyat Malaysia, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Dasar pemilikan 51 peratus kekal

Beliau berkata dasar kerajaan menetapkan syarikat yang memegang konsesi atau aset strategik negara seperti pelabuhan mestilah dimiliki sekurang-kurangnya 51 peratus oleh rakyat Malaysia.

“Setakat kerajaan, kita hanya mengawal selia dari segi pemegangan saham yang melibatkan syarikat pengendali konsesi dan aset strategik negara, termasuk pelabuhan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Majoriti pemilikan mesti kekal dengan rakyat Malaysia pada 51 peratus. Ini adalah dasar kita,” katanya pada sidang akhbar berhubung pindaan Akta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menubuhkan peruntukan pampasan bagi mangsa kemalangan dan memperkukuh sistem mata demerit kesalahan jalan raya di sini hari ini.

Pelantikan pengurusan urusan dalaman syarikat

Loke berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai laporan media antarabangsa berhubung pelantikan bekas pengerusi dan ketua pegawai eksekutif DP World, Sultan Ahmed Sulayem, sebagai pengerusi eksekutif MMC Ports Holdings Bhd.

Beliau berkata pelantikan pengurusan adalah urusan dalaman syarikat dan tidak memerlukan kelulusan kerajaan.

“Malah, terdapat pelabuhan di negara ini yang diterajui oleh ketua pegawai eksekutif warga asing, seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Dari segi pengurusan, kerajaan tidak campur tangan dan tidak mengganggu,” katanya.

Notifikasi perubahan saham perlu dimaklumkan

Bagaimanapun, Loke berkata sebarang perubahan dalam pemegangan saham mesti dimaklumkan kepada kerajaan, termasuk melalui Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS).

Mengenai dakwaan perubahan pemilikan saham yang melibatkan kumpulan pengendali pelabuhan terbesar Malaysia, beliau berkata kementerian belum menerima sebarang notifikasi daripada syarikat atau pemegang konsesi.

“Setakat yang kami tahu, tiada. Kementerian belum menerima sebarang maklumat atau notifikasi daripada syarikat mahupun pemegang konsesi,” katanya.

Media antarabangsa baru-baru ini melaporkan bahawa Sultan Ahmed mengambil alih kepimpinan MMC Ports Holdings Bhd berikutan peletakan jawatan serta-merta ketua pegawai eksekutif kumpulannya, Azman Shah Mohd Yusof.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga