Kerajaan Selangor mengenal pasti Taman Medan, Petaling Jaya, sebagai tapak utama bagi pembinaan sebuah hospital baharu dalam usaha memperkukuh prasarana kesihatan awam dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan perubatan untuk penduduk di kawasan berkepadatan tinggi.
Proses pengambilan tanah sedang dimuktamadkan
Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri kini dalam proses memuktamadkan pengambilan tanah bagi projek berkenaan, dengan kos pembelian sedang dirunding melibatkan dua lokasi yang telah dikenal pasti.
“Kita sudah mengenal pasti tapak dan akan segera melaksanakan proses pengambilan tanah dengan kos yang kini sedang dirunding di dua lokasi pilihan, namun kita akan memulakan dengan tapak yang paling mudah diakses, iaitu di sekitar Taman Medan kerana ia berada dalam kawasan penduduk yang padat.
“Pembangunan ini dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk di Puchong, Jalan Klang Lama serta kawasan Subang bagi mendapatkan akses perubatan dengan lebih baik,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program Ambulans Kita Selangor (AKS) Fasa 2, di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, Speaker Dewan Negeri Selangor Lau Weng San dan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin.
Inisiatif strategik tangani kepadatan penduduk
Amirudin berkata, pembinaan hospital baharu itu antara inisiatif strategik kerajaan negeri bagi memastikan kemudahan kesihatan awam dapat menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah, khususnya di kawasan berpenduduk padat.
Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengesahkan Petaling Jaya Selatan (PJS) sebagai lokasi paling strategik bagi pembinaan hospital baharu berbanding tapak alternatif di SS8, Kelana Jaya.
Beliau berkata, segala urusan reka bentuk dan pembangunan hospital itu akan diuruskan sepenuhnya oleh KKM menggunakan peruntukan sedia ada dan ia akan digerakkan secepat mungkin.



