SHAH ALAM, 23 Julai — Kerajaan negeri Selangor melaksanakan Projek Pelan Mitigasi Banjir Segera dan Sederhana membabitkan kawasan hotspot dan berisiko tinggi di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan peruntukan RM40.5 juta bagi mengurangkan risiko banjir kilat.
Peruntukan meliputi 39 skop kerja
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim, berkata peruntukan tersebut merangkumi 39 skop kerja yang dibahagikan kepada langkah segera (quick win) dan langkah sederhana untuk menangani isu banjir secara lebih teratur.
Beliau berkata pelaksanaan projek dirancang berikutan kejadian banjir kilat yang semakin kerap berlaku di kawasan bandar akibat pembangunan pesat, hujan berintensiti tinggi, dan cabaran perubahan iklim global.
“Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM40.5 juta meliputi 39 skop kerja di bawah kategori tindakan segera dan sederhana untuk menangani isu ini secara teratur.
“Langkah segera atau quick win melibatkan projek yang boleh disiapkan dalam tempoh kurang enam bulan, manakala langkah sederhana mengambil masa sehingga setahun untuk penambahbaikan yang lebih mampan,” katanya pada sidang akhbar khas pengurusan banjir, yang turut dihadiri Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon.
26 projek segera, 13 projek sederhana
Izham berkata daripada jumlah peruntukan itu, 26 projek dikategorikan di bawah langkah segera membabitkan kos RM20.1 juta, manakala 13 projek lagi di bawah langkah sederhana membabitkan peruntukan RM20.4 juta.
Beliau berkata 12 kawasan telah dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan, dengan tiga kawasan diberi keutamaan kritikal iaitu Seksyen 51A (Jalan 223), Kampung Cempaka, dan kawasan Terowong FAS berhampiran Jalan PJU 1A.
Menurutnya, pelaksanaan projek meliputi pembinaan tembok banjir, pemasangan pintu flap, pembinaan kolam takungan, dan penggunaan teknologi baharu seperti ecoblock dari Jerman.
Beliau berkata setiap projek memerlukan kajian teknikal dan reka bentuk yang teliti sebelum kerja pembinaan dapat dimulakan bagi memastikan isu seperti laluan utiliti bawah tanah dan pemilikan tanah diselesaikan terlebih dahulu.
Inisiatif bantuan kepada peniaga terjejas
Sementara itu, Mohamad Zahri berkata MBPJ turut melaksanakan beberapa inisiatif untuk mengurangkan beban peniaga yang terjejas akibat banjir kilat pada 20 April dan 6 Mei lalu.
Beliau berkata langkah itu termasuk pemasangan sistem penggera dan pengesan paras air longkang, penambahbaikan kemudahan, serta pengecualian dan pengurangan kadar sewa premis.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan MBPJ adalah pengecualian sewa premis perniagaan dan pengurangan 30 peratus kadar sewa, bermula Julai hingga Disember, bagi peniaga terjejas di Jalan 223.
“Sementara itu, kerjasama strategik melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), MBPJ, Jabatan Kerja Raya (JKR), dan agensi teknikal berkaitan akan terus diperkemas bagi memastikan setiap peruntukan digunakan secara optimum untuk keselamatan rakyat,” katanya. — Bernama



