Kerajaan Benar Guna Dana PTPK RM50 Juta untuk TVET 2.0
Dana PTPK RM50 Juta untuk TVET 2.0 Diluluskan

Kerajaan Benar Guna Dana PTPK Hingga RM50 Juta untuk TVET 2.0

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju membenarkan penggunaan dana sehingga RM50 juta daripada Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi memperkukuh pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penggunaan dana itu bagaimanapun bersyarat iaitu pihak majikan dan industri perlu bekerjasama erat dengan kerajaan bagi menjayakan agenda TVET 2.0.

“Saya tegaskan semula untuk membenarkan hingga RM50 juta daripada dana Program Berimpak Tinggi di bawah PTPK digunakan untuk TVET 2.0. Syaratnya ada syarat. Majikan dan industri bekerjasama dengan kerajaan khususnya dalam Majlis TVET untuk menjayakannya supaya ada penyelarasan. Ini juga akan menambah tentang program latihan dan pendedahan,” kata beliau ketika merasmikan sambutan Hari TVET Negara 2026.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, barisan menteri Kabinet serta Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar. Di bawah kerangka Belanjawan 2026, peruntukan keseluruhan bagi PTPK ditetapkan sebanyak RM650 juta.

Latihan dalam Bidang Baharu untuk Pelajar Terpilih

Anwar berkata pelajar TVET yang terpilih akan menjalani latihan dalam bidang baharu di pelbagai agensi antaranya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) atau pusat latihan penyelidikan di bawah Majlis Sains Negara.

“Hal ini bermakna lulusan TVET yang tertentu, yang terpilih itu dengan sendirinya terangkat melebihi (memiliki nilai pasaran) daripada ijazah sarjana muda. Maka sewajarnya upah dan gaji mereka harus dipastikan lebih daripada apa yang diperoleh oleh mana-mana siswazah yang perolehi ijazah sarjana muda,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata inisiatif berkenaan merupakan langkah tambahan kerajaan untuk mengangkat martabat graduan TVET, sekali gus menarik minat lebih ramai golongan muda menceburi bidang berkenaan.

Beliau berkata Shamsul Azri dijangka memanggil semua badan penyelidikan minggu depan bagi menetapkan bilangan pelajar dari setiap TVET yang perlu diambil untuk kursus tambahan supaya mereka dapat menguasai kemahiran dan kepakaran yang belum diperoleh dalam sistem pendidikan awam hari ini.

TVET Malaysia Jadi Penanda Aras di ASEAN

Anwar berkata peningkatan luar biasa TVET di Malaysia didorong oleh dasar kerajaan yang baik serta komitmen Zahid selaku Pengerusi Majlis TVET Negara. Lebih membanggakan, Perdana Menteri berkata TVET negara kini menjadi penanda aras di rantau ASEAN yang membuktikan kemampuan Malaysia mengangkat pendidikan itu secara meluas.

“Kita telah meningkatkan prestasi (TVET) kita. Di ASEAN yang saya pasti, TVET Malaysia menjadi antara penanda aras yang penting tentang bagaimana negara boleh memartabatkan latihan TVET dan kini dianggap antara yang utama di ASEAN. Hal ini bermakna, sepertimana saya tekankan kepada rakan dalam Jemaah Menteri dan kerajaan umumnya (kejayaan hadir) kalau kita ada satu dasar yang jelas,” kata Anwar.

Hari TVET Negara disambut pada 2 Jun setiap tahun bagi mengiktiraf peranan pendidikan kemahiran tersebut sebagai pemacu pembangunan modal insan, di samping menjadi platform penting dalam memperkukuh agenda TVET MADANI yang menekankan elemen kemahiran, inovasi serta kebolehpasaran graduan.

Di bawah kerangka Malaysia MADANI, TVET kini diangkat sebagai agenda nasional dan bukan lagi sekadar pilihan kedua, dengan kerajaan komited memperkasakan bidang berkenaan melalui penawaran kursus berteknologi tinggi bagi memenuhi tuntutan pelaburan industri global.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga