Anwar janji tamatkan amalan agihan bantuan yang merendahkan martabat rakyat
Anwar janji tamat amalan agihan bantuan merendahkan martabat

BATU PAHAT, 7 Jun — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk menamatkan amalan lapuk yang merendahkan martabat rakyat, termasuk memaksa mereka yang memerlukan beratur berjam-jam untuk menerima bantuan kewangan.

Beliau berkata pendekatan sebegini tidak sepatutnya wujud dalam era digital kini, kerana ia kelihatan tidak menghormati rakyat dan ibarat sistem kuno dari zaman berabad lalu.

“Saya tidak setuju bahawa pada tahun 2026, rakyat masih perlu beratur (untuk menerima bantuan). Ini bukan soal politik pilihan raya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Jangan layan rakyat seperti hamba… Kita sekarang merdeka, berdaulat; rakyat mempunyai maruah, hak, kebebasan dan semangat kemerdekaan,” katanya ketika berucap pada pelancaran jentera pilihan raya Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Negeri Johor di Pusat Perniagaan Kim’s Park di sini malam tadi.

Turut hadir Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook, Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil.

Hadir sama Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan dan Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching.

Mengulas lanjut mengenai reformasi sistem penyampaian bantuan, Anwar berkata Kerajaan MADANI kini mengutamakan pindahan bank terus bagi memastikan kebajikan rakyat dilindungi dengan maruah.

Beliau mempersoalkan keperluan mengekalkan kaedah lama sedangkan bantuan kewangan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan bantuan sekolah boleh dikreditkan terus.

Menurut Anwar, pengagihan bantuan kewangan secara terus perlu dilaksanakan bagi memastikan tiada siapa yang terpaksa beratur panjang untuk menerima bantuan, mencerminkan komitmen kerajaan menghormati maruah rakyat.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan tetap komited memastikan kesaksamaan pendidikan dengan menjamin penempatan Program Matrikulasi untuk semua pelajar yang mencapai 10A ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tanpa mengira kaum.

Beliau berkata langkah itu dibuat untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar tempatan sambil menolak dakwaan pihak tertentu bahawa isu itu telah dipolitikkan untuk kepentingan sempit.

Menurut Anwar, keputusan menjamin tempat matrikulasi untuk semua pelajar 10A tanpa mengira kaum telah dipersetujui bersama oleh semua anggota Kabinet dalam Kerajaan Persekutuan.

Beliau juga mengingatkan semua pihak supaya tidak menggunakan platform politik untuk membangkitkan sentimen perkauman yang boleh memecahbelahkan masyarakat, sebaliknya fokus membina kecemerlangan pendidikan untuk masa depan belia negara.

Menyentuh mengenai kemunculan parti politik baharu menjelang Pilihan Raya Negeri Johor, Anwar berkata setiap orang berhak membentuk parti sebagai platform perjuangan politik mereka.

“Ujian (sokongan) sebaiknya dilakukan semasa pilihan raya. Banyak parti, setiap minggu ada parti baharu (ditubuhkan), masing-masing ada hak, tetapi saya ingin bertanya apa perbezaan dan keunikan (yang boleh mereka bawa). Ini adalah negara yang penuh dengan cabaran (untuk ditadbir),” katanya.

Beliau berkata rakyat harus menggunakan kuasa mereka untuk menilai dan memilih kerajaan yang berkhidmat untuk rakyat, bukan yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa atau politik perkauman. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga