Kurikulum prasekolah perlu diseragamkan, kata pakar pendidikan
Kurikulum prasekolah perlu diseragamkan, kata pakar

Kurikulum prasekolah di semua institusi kerajaan dan swasta perlu diseragamkan bagi memastikan kualiti pendidikan awal kanak-kanak yang setara, menurut pakar pendidikan, Prof Mariani Md Nor.

Resolusi Kongres Pendidikan Bumiputera 2026

Pemangku naib canselor Universiti SEGi itu berkata, cadangan tersebut antara tujuh resolusi dikemukakan beliau pada Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Ketika ini, jelasnya, terdapat pelbagai kategori tadika seperti Kemas, Perpaduan dan swasta yang menggunakan kurikulum berbeza, sedangkan perbincangan menyeluruh telah dilakukan semasa merangka kurikulum prasekolah kebangsaan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Apa kata kita seragamkan kurikulum tersebut dan hapuskan ‘kasta’ dalam pendidikan prasekolah,” katanya sebagai panel Sesi 3: Memperkasa Pendidikan Prasekolah.

Cadangan lain untuk pendidikan prasekolah

Mariani turut menyarankan kerajaan mengangkat martabat guru prasekolah sebagai profesion rasmi, menyamai sistem pendidikan luar negara yang meletakkan kerjaya itu di peringkat tinggi, termasuk sehingga ke tahap kedoktoran.

Beliau turut mencadangkan pemantauan kompetensi guru dilakukan secara berterusan dan pengukuhan sistem sokongan ibu bapa, terutama bagi kanak-kanak memerlukan perhatian khusus.

“Justeru, perlu ada pengukuhan sistem intervensi supaya anak-anak ini dapat dikesan di peringkat awal dan membolehkan kita membimbing mereka sama seperti kanak-kanak normal.”

Beliau turut menyarankan pelaksanaan pendidikan bersepadu melalui kaedah Pengetahuan Kandungan Pedagogi Teknologi menggunakan teknologi maklumat, di samping menekankan persekitaran pembelajaran inklusif dan berkualiti.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga