169,803 calon lepasan SPM ditawar ke IPTA
169,803 calon SPM ditawar ke IPTA

PUTRAJAYA: Seramai 169,803 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 telah berjaya mendapatkan tawaran tempat bagi melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melalui sistem UPUOnline.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa daripada jumlah tersebut, seramai 91,357 calon ditawarkan ke Universiti Awam (UA), 60,947 calon ke politeknik, 15,844 calon ke Kolej Komuniti, dan 1,655 calon lagi ke Mara Bahagian Pendidikan Tinggi (Mara BPT).

Menurut kenyataan itu, pada tahun ini KPT menerima sebanyak 235,480 permohonan yang layak daripada lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian melalui UPUOnline. Sebanyak 363 program pengajian ditawarkan bagi sesi ini, merangkumi 41 program sijil, 57 program asasi, 264 program diploma, dan satu program Ijazah Sarjana Muda.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut adalah berdasarkan prinsip meritokrasi, di mana semua calon yang layak disusun mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.

KPT turut memaklumkan bahawa Laluan Khas disediakan kepada golongan tertentu, termasuk 701 Orang Kurang Upaya (OKU), 310 Orang Asli, 179 atlet, 10,499 calon dari kategori B40, serta 65 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Buat pertama kalinya, semua program pengajian dibuka untuk dipohon oleh calon OKU berdasarkan kelayakan dan kesesuaian masing-masing, sebagai usaha memperluas akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan adil kepada semua.

Selain itu, KPT turut mengambil inisiatif menawarkan tempat kepada calon yang memperoleh keputusan cemerlang 8A dan ke atas. Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pelajar cemerlang mendapat peluang sewajarnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

Bagi calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian, mereka diberi peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline dalam tempoh 10 hari, bermula hari ini hingga 31 Mei 2026, jam 5 petang.

Pihak kementerian mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya dan semoga peluang menyambung pengajian pada peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga