Seorang pemimpin MIC meminta cadangan menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak lagi diulangi jika tidak mampu dilaksanakan. Ketua Putera MIC Kebangsaan Shatesh Kumar Sangar berkata kerajaan sebaliknya perlu memberikan pendirian dan pelan tindakan yang jelas bagi menangani beban hutang pendidikan graduan.
Jangan ulang janji 'kaji' PTPTN
Shatesh berkata anak muda tidak seharusnya terus diberikan harapan bahawa cadangan menghapuskan pinjaman itu akan dikaji atau dibincangkan tanpa sebarang keputusan konkrit. “Anak muda tidak boleh terus dijadikan sasaran janji bermusim setiap kali pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa cadangan menghapuskan pinjaman PTPTN akan dibincangkan bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Anwar berkata perkara itu perlu dirunding dengan menteri bertanggungjawab selepas ia dibangkitkan susulan kempen PRN Johor baru-baru ini.
Kerajaan perlu berterus terang
Shatesh berkata kerajaan perlu berterus terang kepada rakyat sekiranya penghapusan pinjaman berkenaan tidak dapat dilaksanakan. Katanya, kerajaan boleh mempertimbangkan langkah lain, termasuk pengurangan kadar bayaran, diskaun penyelesaian pinjaman, bantuan bersasar untuk peminjam B40 atau mekanisme bayaran balik lebih adil.
Beliau berkata langkah sedemikian lebih diperlukan graduan yang berdepan kos sara hidup tinggi, pasaran pekerjaan mencabar dan beban hutang pendidikan. “Mereka tidak memerlukan retorik politik atau janji untuk ‘mengkaji’ dan ‘membincangkan’. “Mereka memerlukan dasar yang jelas dan tindakan nyata,” katanya.



