Cadangan Akta Imbuhan Hakim Syariah di peringkat akhir
PUTRAJAYA, 15 Julai — Cadangan untuk melaksanakan Akta Imbuhan Hakim Syariah kini berada di peringkat akhir, dengan dokumen berkaitan telah disediakan dan sedang dimuktamadkan sebelum dikemukakan untuk tindakan lanjut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata kajian mengenai perkara itu sedang dijalankan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama agensi berkaitan, dan melibatkan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.
“Ya, ia sedang dimuktamadkan, tetapi memerlukan kajian teliti kerana melibatkan implikasi kewangan dan aspek lain. Jadi, kami berharap ia dapat dipercepatkan.
“Secara umum, dokumen telah disediakan, tetapi kami perlu memperhalusinya lagi kerana masih perlu mendapatkan lebih banyak maklum balas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pendakwa Syariah Malaysia (PePSSM) 2026 kali kedua di sini hari ini.
Komitmen kerajaan naikkan taraf hakim Syariah
Pada 15 Julai 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan komited untuk mempercepatkan cadangan pelaksanaan akta tersebut bagi menaikkan taraf hakim Mahkamah Syariah di negara ini.
Sementara itu, Zulkifli berkata butiran cadangan penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah (JPSM) sedang diperhalusi di peringkat dasar sebelum dibentangkan kepada Kabinet.
Beliau berkata dokumen berkaitan telah memasuki fasa akhir dan maklum balas lanjut daripada pihak terlibat masih diperlukan sebelum ia boleh dibentangkan.
Beliau menambah sesi libat urus dan perbincangan dengan kerajaan negeri mengenai cadangan itu telah dijalankan dengan jayanya bagi memastikan pandangan semua pihak diambil kira.
“Kami sentiasa mengambil kira pandangan negeri mengenai perkara ini. Ini adalah usaha kolektif, bukan usaha JKSM semata-mata,” katanya. — Bernama



