PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengakui negara masih berdepan kekurangan doktor pakar dan petugas kesihatan, tetapi menegaskan sebarang penambahan mesti dibuat secara berfasa dan berterusan mengikut keperluan.
Beliau berkata penambahan kakitangan dan pegawai kesihatan perlu bergerak selari dengan peningkatan atau penambahan kemudahan infrastruktur kesihatan di negara ini.
“Penambahan pakar mesti dibuat berfasa dan berterusan, mengikut keperluan dan kepentingan semasa. Sudah tentu kita ada perancangan nak bina hospital dan fasiliti kesihatan untuk beberapa tahun akan datang.
“Jadi kita kena selaraskan dengan keperluan fasiliti-fasiliti ini. Dari segi sumber tenaga kerja memang ada untuk mengisi kekurangan yang ada,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangani MoU Pembinaan Klinik Kesihatan Bakun-Murun di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berhubung hospital awam tertekan sehingga ke tahap maksimum berpunca daripada kekurangan sumber tenaga kerja, bukannya akibat lambakan pesakit warga asing.
Presiden MMA, Dr R Thirunavukarasu berkata, isu lebih mendalam adalah kegagalan sistemik ekoran hospital awam kini beroperasi pada kapasiti penuh dengan kekurangan hampir 11,000 pakar perubatan serta kadar kekosongan jururawat sekitar 18 peratus.
Mengenai masalah kekurangan doktor pakar, Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) kini di peringkat akhir untuk menyelesaikan beberapa kekangan dalam latihan kepakaran, termasuk halangan birokrasi yang dikatakan melambatkan usaha itu.
Katanya, KKM juga melaksanakan beberapa penyesuaian sementara termasuk mengiktiraf tempoh pengalaman kerja diselia (SWE) sebagai sebahagian daripada tempoh latihan yang diperlukan bagi doktor yang mengikuti subkepakaran.
“Persepsinya dahulu (kelewatan) adalah kerana mereka dalam laporan nilai prestasi tahunan, sekarang ini mereka yang sudah menjadi pakar tetapi menjalani SWE selama enam bulan.
“Tetapi kali ini, kita sudah mengambilnya (tempoh SWE) sebagai sebahagian daripada tempoh untuk mereka mendapatkan subkepakaran,” katanya.
Beliau berkata, KKM menyedari masih terdapat beberapa kekangan lain dengan semua isu yang timbul sedang ditangani dan akan mendedahkan penyelesaiannya.
Beliau juga berkata KKM sudah mempunyai perancangan dan akan diselaraskan dengan keperluan fasiliti kesihatan.
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata KKM mengaktifkan sistem pengurusan krisis kluster bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan tidak terjejas.
Katanya, pendekatan itu membabitkan kerjasama antara hospital dalam kluster serta klinik kesihatan, termasuk penyusunan semula dan pergerakan petugas kesihatan mengikut keperluan.



