402 kes vape dadah sintetik jadi asas kuat larangan vape negara
402 kes vape dadah sintetik asas kuat larangan vape negara

KUALA LUMPUR, 21 Jun — Data rampasan vape oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga April tahun ini mencatatkan 402 kes melibatkan peranti dan cecair vape yang didapati telah dicampur dengan pelbagai jenis dadah sintetik berbahaya.

Asas Kukuh untuk Larangan Vape

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata bukti tersebut memberikan asas yang kukuh kepada kerajaan untuk bergerak ke arah mengharamkan penggunaan vape di negara ini.

“Pengesanan dadah sintetik seperti benzodiazepine, nimetazepam, MDMA, cannabinoid, tetrahydrocannabinol dan methamphetamine dalam sedi vape jelas dilarang dan haram digunakan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak atau mereka yang di bawah umur dewasa.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Atas kekuatan bukti itu sahaja, sudah ada asas kukuh yang menuju ke arah larangan vape. Itu adalah hujah yang meyakinkan. Perkara ini kini dalam pertimbangan kerajaan, dan Kementerian Kesihatan (KKM) juga terlibat dalam proses tersebut,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Cik Era Naik MRT di Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX).

Dadah Sintetik 'Piu Piu' Dikesan

Pada 11 Jun, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kemunculan dadah sintetik baharu dikenali sebagai 'Piu Piu' yang dikesan dalam cecair rokok elektronik menunjukkan mengapa peranti tersebut patut diharamkan.

Memperincikan lebih lanjut, Dzulkefly berkata KKM memandang serius penularan cecair vape yang didapati mengandungi dadah sintetik berbahaya dan menegaskan komitmen kerajaan untuk menangani ancaman itu melalui pendekatan menyeluruh.

Beliau berkata usaha penguatkuasaan tidak lagi ditanggung semata-mata oleh KKM tetapi dilaksanakan secara agresif melalui kerjasama strategik merentas agensi, termasuk dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM.

Program Cik Era Naik MRT

Terdahulu, Dzulkefly melancarkan Program Cik Era Naik MRT, satu inisiatif bertujuan mempromosikan kesihatan awam secara santai dan interaktif kepada kira-kira 200,000 penumpang harian Laluan MRT Putrajaya, dari Stesen MRT Putrajaya Sentral ke Stesen MRT TRX.

Program ini adalah kesinambungan kempen Balik Kampung Bersama Cik Era yang diadakan pada Mac untuk memperkenalkan Cik Era AI, aplikasi rakan maya berasaskan kecerdasan buatan yang menyediakan panduan digital bagi individu yang ingin berhenti merokok atau vape.

Sejak dilancarkan pada 15 Mac, Cik Era AI telah mencatatkan 17,412 interaksi pengguna, dengan purata 258 interaksi setiap hari. Inisiatif promosi terkini, yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) Perkhidmatan mQuit, telah meningkatkan kadar interaksi harian sebanyak 34 peratus kepada 347 interaksi sehari setakat 15 Jun.

Platform JomQuit dan Sokongan Berhenti Merokok

Selain memanfaatkan teknologi AI, KKM telah memperkukuh akses kepada rawatan ketagihan nikotin melalui platform JomQuit, yang menghimpunkan 90 penyedia perkhidmatan swasta berdaftar dan telah membantu 9,349 klien sejak Oktober 2024.

Inisiatif sokongan seperti mQuit, JomQuit dan Cik Era AI melengkapi penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dalam usaha mengurangkan beban penyakit kronik dan merealisasikan aspirasi generasi bebas asap rokok di Malaysia. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga