Kes pelajar perempuan Tingkatan 3 yang parah ditikam di sebuah sekolah di Banting, Kuala Langat, menjadi peringatan bahawa pengesanan awal masalah kesihatan mental remaja tidak boleh dipandang ringan, kata pakar.
Pengesanan awal cegah tragedi
Pegawai Psikologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani, berkata insiden itu membangkitkan persoalan sama ada tanda awal tekanan emosi dalam kalangan remaja berjaya dikesan dan ditangani sebelum menjadi lebih serius.
“Kesihatan mental remaja bukan lagi isu pinggiran. Gangguan yang tidak dirawat boleh menjejaskan perkembangan emosi, pembelajaran, hubungan sosial dan berpotensi membawa kepada tingkah laku berisiko. Intervensi awal adalah pelaburan penting demi masa depan negara,” katanya kepada FMT.
Dalam kejadian 6 Julai lalu, mangsa berusia 15 tahun mengalami kecederaan pada paru-paru serta 16 kesan tikaman, manakala suspek yang juga berusia 15 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, semalam, dan diperintah menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia.
Stigma halang remaja dapat bantuan
Fatimah berkata, ramai remaja memilih memendam perasaan kerana takut dilabel lemah atau dipandang serong, menyebabkan simptom seperti kemurungan, kebimbangan dan trauma tidak dikenal pasti sehingga memberi kesan jangka panjang.
Katanya, perubahan tingkah laku seperti menjadi pendiam, mudah marah, hilang minat terhadap aktiviti, prestasi akademik merosot atau menjauhkan diri daripada keluarga dan rakan tidak sepatutnya dianggap sekadar sikap malas atau degil.
Beliau turut mengingatkan penggunaan media sosial tanpa kawalan boleh memburukkan tekanan emosi melalui budaya perbandingan, buli siber dan keinginan untuk sentiasa kelihatan sempurna di alam maya, sekali gus menyukarkan pengesanan individu yang sebenarnya bergelut dengan masalah psikologi.
Peranan keluarga dan sekolah
“Keluarga perlu menjadi benteng pertama dengan mewujudkan komunikasi terbuka dan persekitaran selamat dari segi emosi, manakala sekolah perlu memperkukuh kerjasama antara guru, kaunselor dan ibu bapa supaya pelajar yang memerlukan bantuan dirujuk kepada perkhidmatan profesional secepat mungkin,” katanya.
Fatimah turut menggesa masyarakat menghapuskan stigma terhadap rawatan kesihatan mental kerana mendapatkan khidmat kaunselor, ahli psikologi atau pakar psikiatri adalah tindakan bertanggungjawab, sama seperti mendapatkan rawatan bagi penyakit fizikal.
Menurutnya, literasi kesihatan mental dalam kalangan ibu bapa, guru dan komuniti juga perlu diperkasakan supaya lebih ramai remaja berani mendapatkan bantuan.
Keselamatan sekolah perlu diutamakan
Sementara itu, Pengerusi Biro Pendidikan Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan, Zaleha Dullah, berkata keselamatan murid perlu diangkat sebagai isu keselamatan negara dan tidak lagi dilihat sekadar masalah disiplin.
Katanya, perkembangan itu mencetuskan keresahan ibu bapa, guru dan masyarakat kerana sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk menimba ilmu kini semakin terdedah kepada ancaman keganasan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan memberi keutamaan kepada pembentukan Pelan Induk Keselamatan Sekolah Nasional yang merangkumi aspek keselamatan fizikal, pengurusan risiko dan prosedur kecemasan.
Beliau turut mencadangkan penambahan guru bimbingan dan kaunseling, kaunselor profesional serta pakar psikologi pendidikan.
“Ibu bapa menghantar anak-anak dengan harapan mereka pulang membawa ilmu, bukannya tragedi. Keselamatan murid mestilah menjadi keutamaan mutlak dalam setiap dasar pendidikan negara,” katanya.



