Kisah Manisha Jagan Mongan yang menyelamatkan 11 nyawa secara langsung melalui pendermaan organnya selepas meninggal dunia pada 2023 telah memberi harapan kepada ribuan rakyat Malaysia, menurut Unit Derma Organ dan Tisu Hospital Sungai Buloh.
Lonjakan ikrar derma organ
Ketua Unit berkenaan, Dr Natasha Noh, berkata laporan FMT mengenai proses perolehan organ dan tisu yang diikrarkan Manisha susulan kematian mengejutnya pada usia 35 tahun telah mencetuskan lonjakan dalam ikrar pendermaan organ dalam kalangan rakyat Malaysia. Dua buah pinggang dan hati Manisha telah dipindahkan kepada tiga penerima daripada senarai menunggu yang panjang, manakala kornea dan tulangnya disimpan untuk kegunaan penerima pada masa hadapan.
Dr Natasha berkata, unitnya amat terkejut dengan lonjakan berkenaan; di mana sebelum ini ikrar pendermaan agak perlahan kerana kebanyakan rakyat Malaysia kurang berminat dan tidak menyedari impak besarnya kepada golongan yang cukup memerlukan.
“Kisah tular mengenai bagaimana organ Manisha membantu orang lain sejurus selepas kematian tragisnya mencetuskan pendaftaran penderma kadaverik secara mendadak,” kata Dr Natasha kepada FMT. “Manisha bukan sahaja membantu 11 penerima secara langsung, malah kisahnya menyentuh hati ribuan orang lain untuk turut mengikrarkan organ.”
Tindakan ibu bapa Manisha
Bapa Manisha, P Jagan Mongan, dan ibu, P Indrani, menerima sijil penghargaan daripada Pengarah Kesihatan Selangor Dr Ummi Kalthom Shamsudin, serta Exco Selangor Jamaliah Jamaluddin. Dr Natasha menggalakkan rakyat Malaysia mencontohi teladan Manisha serta tindakan ibu bapanya yang memberikan keizinan bagi perolehan organ dan tisu tersebut.
“Sering kali berlaku apabila ahli keluarga menghalang proses perolehan walaupun saudara-mara mereka telah mengikrarkan organ mereka,” katanya. Dr Natasha berkata, mereka yang berhasrat mengikrarkan organ boleh berbuat demikian melalui aplikasi MySejahtera.
Bapa Manisha, P Jagan Mongan, menzahirkan kegembiraan kerana mendiang anaknya telah menyentuh begitu banyak nyawa meskipun selepas kematiannya. “Rasa pedih kehilangannya pada usia begitu muda, tetapi mengetahui organnya membantu begitu ramai orang cukup melegakan kesakitan kami. Kami tidak ragu-ragu untuk membenarkan doktor melakukan perolehan organ tersebut dengan segera kerana kami tahu itulah yang dia inginkan.
“Dia dikenali sebagai seorang yang banyak membantu orang dalam kesusahan ketika hayatnya. Jadi, kami penuhi permintaan terakhirnya,” katanya kepada FMT. Jagan Mongan berkata, hakikat penerima terdiri daripada rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang menjadikannya lebih gembira, kerana membuktikan semua manusia adalah satu, tanpa mengira pegangan agama.



