Enam termasuk pembekal vape ditahan susulan video tular khayal
Enam termasuk pembekal vape ditahan susulan video tular

KUALA LUMPUR: Polis menahan enam lelaki termasuk seorang pembekal vape yang disyaki mengandungi dadah berikutan penularan beberapa video di media sosial. Video tersebut memaparkan individu dalam keadaan khayal dan menghisap vape secara berlebihan baru-baru ini.

Tindakan tegas JSJN

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata pihaknya memandang serius penyalahgunaan vape yang dikhuatiri menjadi medium normalisasi budaya penyalahgunaan bahan terlarang serta gaya hidup tidak sihat. JSJN tidak menolak kemungkinan terdapat vape yang dicampur bahan berbahaya atau dadah sintetik yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

“Hasil tindakan terhadap satu video tular memaparkan dua lelaki dalam keadaan khayal dipercayai akibat menghisap vape disyaki mengandungi dadah di sebuah apartmen di Selangor, JSJN berjaya menahan tiga lelaki termasuk dua individu dalam video terbabit serta seorang pembekal vape. Dalam serbuan sama, polis turut merampas sebotol cecair vape disyaki mengandungi ketamin,” menurut kenyataan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

JSJN turut bertindak terhadap satu lagi video tular memaparkan dua lelaki menghisap vape sambil membuat siaran langsung di sebuah aplikasi media sosial di Johor Bahru. “Hasil tindakan itu, tiga lelaki tempatan termasuk dua individu dalam video berkenaan berjaya ditahan. Soal siasat mendapati mereka mengaku membuat siaran langsung itu hanya untuk mendapat hadiah daripada penonton,” katanya.

Ops Vape 1.0

JSJN sebelum ini melaksanakan Ops Vape 1.0 bersama Kementerian Kesihatan, Agensi Antidadah Kebangsaan, pihak berkuasa tempatan, bomba, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Tenaga Nasional Berhad di seluruh negara pada 13 hingga 17 April lepas. Operasi bersepadu itu memfokuskan pengesanan, pemeriksaan premis menjual vape dan penahanan individu terlibat dalam aktiviti pengedaran serta penjualan vape mengandungi dadah.

“Sebanyak 1,670 premis menjual vape telah diserbu dan lima individu terdiri daripada dua lelaki tempatan, seorang lelaki warga China dan dua wanita tempatan ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. Dalam Ops Vape 1.0, JSJN berjaya merampas 19.67kg cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis furanyl fentanyl dan 186.54kg cecair vape yang tidak mengandungi dadah dengan nilai keseluruhan rampasan RM4.6 juta,” katanya.

JSJN akan terus mempergiat risikan, pemantauan dan operasi bersepadu bersama agensi berkaitan bagi membanteras aktiviti pengedaran vape yang mengandungi bahan terlarang. “Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya, sambil menyeru ibu bapa dan masyarakat memainkan peranan memantau tingkah laku anak-anak serta tidak memandang ringan ancaman vape yang semakin menular.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh menyalurkannya menerusi hotline JSJN, 012-208 7222.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga