AADK kesan 1,084 kes positif dadah di pintu masuk sempadan sejak 2024
AADK kesan 1,084 kes positif dadah di pintu masuk sempadan

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) merekodkan 1,084 kes positif dadah daripada pemeriksaan di pintu masuk sempadan negara bagi tempoh 2024 hingga 31 Mac tahun ini.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh, berkata jumlah itu diperoleh daripada saringan terhadap 3,625 rakyat Malaysia yang pulang dari negara jiran, terutamanya semasa musim perayaan dan cuti sekolah.

Beliau berkata pada tahun 2024, seramai 494 individu ditahan selepas dikesan positif dadah, melibatkan 444 lelaki dan 50 wanita, dengan methamphetamine mencatatkan kes tertinggi iaitu 148 kes, diikuti ketamin (109 kes), tetrahydrocannabinol (THC) atau ganja (96 kes), '4-methylenedioxymethamphetamine' (MDMA) (80 kes), benzo (62 kes), ketum (23 kes) dan opiat (empat kes).

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Tahun lalu, seramai 415 orang ditahan, melibatkan 392 lelaki dan 23 wanita, dengan dadah tertinggi dicatatkan methamphetamine dalam 140 kes, diikuti ketamin (108 kes), THC (70 kes), benzo (59 kes), MDMA (31 kes), opiat (lima kes) dan ketum dalam dua kes.

“Seramai 175 individu berusia 18 hingga 60 tahun ditahan pada tahun ini sehingga 31 Mac, melibatkan 167 lelaki dan lapan wanita, dengan dadah tertinggi dicatatkan methamphetamine dalam 65 kes, diikuti ketamin (43 kes), THC (32 kes), MDMA (22 kes) dan ketum (13 kes),” katanya kepada pemberita selepas Jelajah Aspirasi Bebas Dadah 2026: Gombak-Kita Turun Padang Aspiration Tour di Kampung Kemensah, Ulu Klang, hari ini.

Ruslin juga mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah semasa berada di luar negara kerana tindakan tegas boleh diambil di bawah Akta Penagih Dadah 1983.

Menurutnya, AADK telah menempatkan Unit Anti Dadah Sempadan di Kedah, Perlis dan Kelantan untuk memantau kemasukan rakyat Malaysia dari negara jiran.

“Semua unit ditempatkan di lokasi berkaitan untuk memantau pergerakan masuk dan menjalankan pemeriksaan termasuk di laluan feri di Pengkalan Kubor, Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Ruslin berkata, Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) 2026 di Kampung Kemensah, Ulu Klang turut melibatkan inisiatif Kampung Angkat Bebas Dadah (KABD).

Beliau berkata KABD adalah inisiatif berasaskan komuniti peringkat kebangsaan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya dadah dan menggalakkan gaya hidup sihat. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga