6 syarikat disyaki kartel tipu bida tender AADK RM5.7 juta
Kartel tipu bida tender AADK: 6 syarikat disiasat

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan keputusan cadangan terhadap enam perusahaan kerana disyaki terlibat dalam kartel menipu bida tender pembekalan makanan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bernilai RM5.7 juta.

Dapatan Siasatan MyCC

Pengerusi MyCC, Idrus Harun dalam satu kenyataan berkata hasil siasatan suruhanjaya itu mendapati semua perusahaan terbabit terlibat dalam perkongsian maklumat dan berpakat dalam penyediaan bidaan mereka. Beliau berkata MyCC mendapati bahawa perjanjian sedemikian mempunyai objektif untuk menghalang, menyekat atau mengekang persaingan secara ketara berhubung dengan perolehan awam dalam pembekalan makanan mentah, segar dan kering.

“Perusahaan-perusahaan ini didapati secara berperingkat melanggar Seksyen 4(1) dibaca bersama Seksyen 4(2)(d) dan 4(3) Akta Persaingan 2010. Tender yang terjejas melibatkan nilai perolehan sebanyak RM5.7 juta,” katanya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Peluang Membela Diri

Bagaimanapun, Idrus berkata pada peringkat ini, keputusan cadangan tersebut merupakan dapatan awal dan tidak boleh dianggap perusahaan berkenaan melanggar Akta 712 secara konklusif. Setakat ini, katanya, semua perusahaan terbabit telah dimaklumkan mengenai cadangan penalti kewangan yang akan dikenakan terhadap mereka.

“Mereka diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh 30 hari selepas menerima keputusan cadangan serta membentangkan representasi lisan di hadapan suruhanjaya pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

“MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan akhir selepas mempertimbangkan representasi yang dibuat oleh perusahaan-perusahaan ini bersama-sama dengan bukti yang diperoleh semasa penyiasatan,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga