PETALING JAYA: Seorang bekas kerani di pejabat jabatan kebajikan masyarakat di Miri berdepan enam pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM1 juta.
Terrance Jamba Noel Nyabong, 43, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Miri atas enam pertuduhan di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, lapor The Borneo Post.
Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan.
Di bawah pertuduhan pertama, Terrance dituduh memindahkan RM939,380, yang didakwa hasil daripada aktiviti haram, dari satu akaun simpanannya ke akaun lain.
Di bawah pertuduhan kedua, beliau didakwa melupuskan RM117,584 dari akaun simpanannya ke akaun lain antara 17 Feb 2022 dan 23 Jan 2023, di lokasi yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, Terrance dituduh memindahkan RM13,200, RM12,300, RM45,000 dan RM1,500, masing-masing dari akaun simpanannya ke akaun empat individu lain.
Kegiatan pengubahan wang yang didakwa berlaku antara 17 Feb 2022 hingga 24 Jan 2023.
Hakim Leo Saga menetapkan 14 Julai untuk pengurusan kes dan penyerahan dokumen.
Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin. Terrance juga diperintahkan menyerahkan pasportnya kepada polis dan melaporkan diri ke balai polis sekali sebulan sehingga kes selesai.



