Projek Sabah Southern Madani Link tingkat keselamatan bekalan elektrik negeri
Sabah Southern Madani Link tingkat keselamatan bekalan elektrik

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Projek Sabah Southern Madani Link (SSML) oleh kerajaan negeri Sabah adalah pelaburan strategik yang mengukuhkan kestabilan dan keselamatan bekalan elektrik negeri, menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).

Peranan strategik SSML

Kementerian itu berkata projek tersebut juga menyokong penyepaduan penjanaan bekalan elektrik baharu, meningkatkan kecekapan kos sistem elektrik, dan mengukuhkan kedudukan Sabah dalam agenda integrasi tenaga serantau.

Petra memaklumkan bahawa projek strategik SSML dilaksanakan untuk mengukuhkan sistem transmisi elektrik 275 kilovolt Sabah dan memainkan peranan penting dalam memastikan tenaga daripada sumber penjanaan sedia ada dan baharu dapat dihantar, terutamanya ke pantai timur negeri itu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Keperluan alternatif laluan transmisi

Kementerian itu menyatakan bahawa kebanyakan sumber penjanaan yang lebih kompetitif dari segi kos kini tertumpu di pantai barat Sabah, manakala permintaan elektrik di pantai timur terus meningkat.

“Pergantungan kepada laluan transmisi tunggal 275 kilovolt Kolopis–Segaliud yang sedia ada menjadikan projek SSML penting sebagai laluan alternatif melalui selatan Sabah, sekali gus meningkatkan daya tahan dan kebolehpercayaan grid sekiranya berlaku gangguan kepada sistem transmisi sedia ada,” menurut jawapan Petra di laman web Parlimen.

Petra menjawab soalan Senator Datuk Edward Linggu Bukut mengenai projek SSML dan margin rizab bekalan elektrik Sabah untuk lima tahun akan datang.

Integrasi dengan projek lain

Dalam konteks yang lebih luas, kementerian itu berkata projek SSML, bersama-sama dengan projek interkoneksi Sabah-Sarawak, akan membentuk sistem grid yang lebih kukuh, bersepadu dan berdaya tahan.

“Infrastruktur ini juga menyediakan asas untuk penyertaan Sabah pada masa hadapan dalam Grid Kuasa ASEAN (APG), yang membuka peluang untuk perdagangan tenaga rentas sempadan, iaitu mengimport tenaga apabila lebih menjimatkan atau mengeksport tenaga apabila grid Sabah mempunyai lebihan,” katanya.

Jaminan bekalan masa depan

Sementara itu, Petra berkata kerajaan negeri Sabah sedang melaksanakan dan akan terus melaksanakan pelbagai projek untuk memastikan bekalan elektrik yang mencukupi, dengan sasaran mengekalkan margin rizab penjanaan sekitar 25 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Ini termasuk menambah kapasiti penjanaan gas di pantai timur dan barat, membangunkan projek hidroelektrik dan solar berskala besar, meningkatkan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), dan mengukuhkan rangkaian transmisi utama.

“Pelaksanaan projek-projek ini dijangka memastikan kapasiti penjanaan yang mencukupi untuk keperluan Sabah dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang,” tambahnya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga