KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengurangkan harga alat ganti servis termasuk kos buruh sehingga 10 peratus, bermula 19 Jun.
Pengeluar kereta itu berkata inisiatif tersebut selaras dengan usaha Perodua untuk membantu rakyat Malaysia menghadapi peningkatan kos sara hidup.
“Kempen ini merangkumi semua model Perodua, termasuk model kenderaan elektriknya, QV-E, dari segi pemeriksaan, penggantian alat ganti, serta kos buruh berkaitan penyelenggaraan kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Zainal Abidin Ahmad, berkata pengurangan harga adalah berdasarkan harga alat ganti penyelenggaraan serta kos buruh. Secara keseluruhan, pelanggan dijangka mendapat penjimatan kira-kira 10 peratus pada bil servis purata mereka, katanya.
“Kami mengalu-alukan pelanggan kami untuk melawat pusat servis sah kami untuk mengetahui lebih lanjut tentang tawaran ini dan menggunakan alat ganti tulen, supaya kenderaan Perodua anda akan terus kekal boleh dipercayai dan efisien.
“Kami percaya bahawa pengurangan kos servis akan membantu pelanggan kami mengurangkan kos mobiliti mereka. Kami juga akan melakukan bahagian kami untuk memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan kami,” katanya.
Tahun lalu, sebanyak 3.7 juta kenderaan telah diservis di pusat servis Perodua di seluruh negara. Zainal Abidin berkata terdapat lebih daripada lima juta kenderaan Perodua di jalan raya, dan menambah bahawa kempen ini akan membolehkan Perodua memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada sebahagian besar rakyat Malaysia.



